Friday, 24 August 2012

ADAKAH ALLAH MENERIMA RAMADHAN KU KALI INI...???


Muhasabah: Adakah amal Ramadhan kita diterima oleh Allah s.w.t?
Generasi awal Islam merupakan generasi terbaik umat ini. Adalah sesuatu yang rasional untuk kita melihat contoh-contoh generasi terbaik ini. Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali r.h.m membawakan beberapa contoh tentang kerisauan generasi salaf/tiga generasi terawal Islam berkaitan pengabulan amalan kebaikan mereka oleh Allah s.w.t.
كان السلف الصالح يجتهدون في إتمام العمل و إكماله و إتقانه ثم يهتمون بعد ذلك بقبوله و يخافون من رده و هؤلاء الذين : { وَالَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آَتَوْا وَقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ أَنَّهُمْ إِلَى رَبِّهِمْ رَاجِعُونَ
Imam Ibn Rajab berkata: Generasi Salafussoleh berusaha bersungguh-sungguh dalam beramal dan menyempurnakannya. Selepas itu mereka akan menjadi sangat risau tentang penerimaan (Allah) ke atas amalan yang dilakukan. Mereka sangat takut jika amal-amal mereka ditolak.  Mereka inilah yang disebut dalam ayat yang bermaksud: Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang penuh khuatir, sesungguhnya mereka akan kembali kepada Rabb mereka [Al Mu’minun : 60].

روي عن علي رضي الله عنه قال : كونوا لقبول العمل أشد اهتماما منكم بالعمل ألم تسمعوا الله عز و جل يقول : { إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ}
Diriwayatkan bahawa ‘Ali r.a berkata: Mereka (generasi salaf) lebih mengambil berat tentang penerimaan amal berbanding dengan amal itu sendiri. Adakan kalian tidak pernah mendengar Allah s.w.t berfirman : Sesungguhnya Dia (Allah) hanya menerima (amalan-amalan) daripada mereka yang bertaqwa [al-Maidah : 27]
 و عن فضالة بن عبيد قال : لأن أكون أعلم أن الله قد تقبل مني مثقال حبة من خردل أحب إلي من الدنيا و ما فيها لأن الله يقول : { إنما يتقبل الله من المتقين }
Fudhalah bin ‘Ubaid berkata: Seandainya aku mengetahui Allah menerima amalan aku walau seberat biji benih, itu lebih aku cintai daripada dunia dan isinya. Ini kerana Allah s.w.t berfirman: Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan-amalan) mereka yang bertaqwa.
قال ابن دينار : الخوف على العمل أن لا يتقبل أشد من العمل و قال عطاء السلمي : الحذر الاتقاء على العمل أن لا يكون لله
Ibn Dinar berkata: Perasaan takut bahawa amalan tidak akan diterima itu lebih kuat daripada amalan itu sendiri. ‘Atha’ as-Salami berkata: Berhati-hatilah menjaga amal agar ia takut-takut ia dilakukan bukan kerana Allah.
و قال عبد العزيز بن أبي رواد : أدركتهم يجتهدون في العمل الصالح فإذا فعلوه وقع عليهم الهم أيقبل منهم أم لا قال بعض السلف كانوا يدعون الله ستة أشهر أن يبلغهم شهر رمضان ثم يدعون الله ستة أشهر أن يتقبله منهم
Abdul Aziz bin Rawwad berkata: Aku melihat generasi salaf sangat bersungguh-sungguh melakukan amal soleh. Apabila mereka telah melakukannya, timbul pula perasaan risau adakah amalan itu diterima atau tidak.
Sebahagian generasi salaf menyatakan : Mereka akan berdoa kepada Allah enam bulan (sebelum Ramadhan) agar Ramadhan dapat bertemu dengan mereka, kemudian mereka berdoa selama enam bulan (selepas Ramadhan) agar Allah menerima amalan-amalan mereka.
خرج عمر بن عبد العزيز رحمه الله في يوم عيد فطر فقال في خطبته : أيها الناس إنكم صمتم لله ثلاثين يوما و قمتم ثلاثين ليلة و خرجتم اليوم تطلبون من الله أن يتقبل منكم كان بعض السلف يظهر عليه الحزن يوم عيد الفطر فيقال له : إنه يوم فرح و سرور فيقول : صدقتم و لكني عبد أمرني مولاي أن أعمل له عملا فلا أدري أيقبله مني أم لا ؟
Pada satu hari raya Aidilfitri, Umar bin Abdul Aziz keluar lalu berkata di dalam khutbahnya: Wahai manusia! Sesungguhnya kalian telah berpuasa ikhlas kerana Allah selama tiga puluh hari. Kalian telah bangun beribadah di waktu malam selama tiga puluh malam, dan kalian telah keluar pada hari ini menuntut daripada Allah agar amalan-amalan kalian diterima.
Sebahagian generasi salaf, jelas kelihatan pada wajah mereka kesedihan pada hari raya Aidilfitri, lalu mereka disoal: Bukankah ini adalah hari untuk bergembira?
Mereka menjawab: Engkau betul, akan tetapi aku adalah seorang hamba, Tuan aku menyuruh aku beramal, tetapi aku tidak tahu adakah Dia akan menerima amalan aku atau tidak.
رأى وهب بن الورد قوما يضحكون في يوم عيد فقال : إن كان هؤلاء تقبل منهم صيامهم فما هذا فعل الشاكرين و إن كان لم يتقبل منهم صيامهم فما هذا فعل الخائفين
Wahab bin al-Warid melihat sekumpulan manusia bergelak ketawa di hari raya, lalu dia berkata: Seandainya mereka adalah orang yang diterima puasanya, adakah ini perilaku manusia bersyukur? Jika puasa mereka tidak diterima, adakah ini perilaku manusia-manusia yang takut.
و عن الحسن قال : إن الله جعل شهر رمضان مضمارا لخلقه يستبقون فيه بطاعته إلى مرضاته فسبق قوم ففازوا و تخلف آخرون فخابوا فالعجب من اللاعب الضاحك في اليوم الذي يفوز فيه المحسنون و يخسر فيه المبطلون
Al-Hasan berkata: Sesungguhnya Allah menjadikan Ramadhan sebagai medan perlumbaan untuk makhluk-makhluknya berlumba-lumba melakukan ketaatan untuk memburu keredhaanNya. Sebahagian manusia mendahului perlumbaan lalu mereka lah yang menang. Sebahagian yang lain tercicir di belakang lalu merekan insan yang diulit kekecewaan. Sungguh pelik mereka yang bermain-main dan bergelak ketawa pada hari kejayaan orang-orang yang baik, dan hari kerugian orang-orang jahat.
[Lathoif al-Maarif m/s 181]
——————
Bukanlah tujuan tulisan ini menyuruh kita bersedih dan bergundah gulana di hari raya. Sungguh bergembira di hari raya adalah satu sunnah Rasulullah s.a.w. Hanya sahaja tulisan ini satu sesi muhasabah awal kita di awal Syawal untuk kita membanyakkan doa agar amalan-amalan Ramadhan kita diterima Allah s.w.t.
Petikan dari AlKahfi

HARGA BERAS AKAN NAIK DI PASARAN....



PUTRAJAYA - Kenaikan harga beras yang dijangka berlaku berikutan pembentukan kartel beras antarabangsa sukar dielakkan selagi Malaysia bergantung kepada import dari negara lain.

Sehubungan itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu berkata, kerajaan perlu menggandakan usaha memajukan sektor pertanian bagi mencapai tahap sara diri dalam pengeluaran beras.

"Kita tidak boleh lari daripada hakikat harga beras akan naik selepas kartel terbentuk antara negara-negara pengeluar beras di Asia Tenggara.

"Satu-satunya jalan keluar ialah kita mesti memanfaatkan tanah luas yang ada untuk mencapai tahap sara diri dalam pengeluaran beras," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media Thailand bahawa Menteri Perdagangan Thailand, Vietnam, Kemboja, Myanmar dan Laos akan menandatangani perjanjian untuk menubuhkan Persekutuan Beras ASEAN pada tahun ini.

Setiausaha Tetap Perdagangan Thailand, Yanyong Phuangrach dilaporkan berkata, matlamat kelima-lima negara pengeluar beras terbesar tersebut adalah mewujudkan kartel beras dan meningkatkan harga beras sebanyak 10 peratus setiap tahun.

Kerjasama tersebut bagaimanapun dipersoalkan Persatuan Pengeksport Beras Thailand yang bimbang langkah itu akan menimbulkan rasa tidak puas hati negara jiran yang mengimport beras dari kelima-lima negara terbabit.

Mengulas lanjut, Marimuthu berkata, Malaysia pada suatu ketika dahulu merupakan negara yang mempunyai hasil beras mencukupi tetapi keadaan itu mula berubah setelah kerajaan menitikberatkan pembangunan dalam sektor lain seperti pembuatan.

Beliau berkata, setiap tahun menjelang pembentangan bajet, FOMCA akan menggesa kerajaan menambah peruntukan dalam sektor pertanian bagi memastikan masalah keselamatan makanan tidak berlaku.

"Kita perlu bergantung kepada hasil pertanian dan bukannya cip mikro dari kilang untuk mengenyangkan perut.

"Lebih banyak tanah pertanian perlu dibangunkan selain mewujudkan sistem bagi melahirkan lebih ramai petani muda bagi menggantikan petani sudah lanjut usia," katanya.

BERANI : GIGIT ULAR YANG MENGIGITNYA SEHINGGA MATI...!!!

Petani Nepal gigit ular tedung sampai mati


Petani Nepal gigit ular tedung sampai mati
Mohammed Salmodin menunjukkan ular yang digigitnya sampai mati. 

BIRATNAGAR, Nepal - Seorang petani Nepal yang dipatuk ular tedung ketika bekerja di sawah telah membunuh reptilia itu dengan menggigitnya beberapa kali, Selasa lalu.


"Penjinak ular memberitahu saya jika dipatuk ular, kita gigit sehingga ia mati dan tiada apa yang akan berlaku kepada kita," kata Mohammed Salmodin kepada BBC.



Mohammed kini sudah dibenar keluar dari hospital di mana dia menerima rawatan akibat dipatuk ular.



Pegawai mengatakan bahawa petani itu tidak akan didakwa kerana reptilia itu tergolong dalam spesis yang tidak terancam.



"Apabila saya menyedari ular telah mematuk saya, saya pulang ke rumah untuk mengambil lampu suluh dan saya lihat ia adalah ular tedung. Lalu saya menggigit ular itu hingga mati," katanya yang ditemui di Biratnagar.



Selepas dipatuk ular, Mohammed menjalani aktivitinya seperti biasa seperti tiada apa yang berlaku. Namun akhirnya dia bersetuju mendapatkan rawatan selepas ahli keluarga, jiran dan polis mendesaknya.



Kejadian berlaku Selasa lalu di sebuah kampung 200 kilometer dari Kathmandu.



Ular yang dibunuh itu dilaporkan spesis ular tedung biasa. Nepal mempunyai pelbagai spesis ular, banyak yang berbisa - seperti ular tedung.



Terdapat kira-kira 20,000 kes dipatuk ular setahun, kebanyakannya di selatan Terai, menyebabkan 1,000 kematian, laporan agensi berita AFP.



Nasihat kepada mangsa gigitan ular berbeza kerana ular yang tidak sama jenisnya memiliki racun yang berbeza. 

MENYAMAR DOKTOR BEDAH UNTUK KUTIP DERMA

Doktor bedah palsu tipu duit penderma
Chong(tengah) menunjukkan artikel dan poster lelaki yang mendakwa dirinya doktor pakar bedah pada sidang media, semalam


KUALA LUMPUR – Seorang lelaki sanggup mendakwa dirinya sebagai doktor pakar bedah bagi meminta derma daripada orang ramai untuk membantu mangsa perang di beberapa buah negara.

Lelaki berusia 26 tahun itu dikatakan mendapat pendidikan di Sekolah Perubatan dan Pergigian King’s College London, Pusat Sains Kesihatan, Universiti Peking dan Royal College of Surgeons of England sebelum menjadi doktor bedah trauma dan bertugas dalam kawasan yang diancam peperangan.

Dia kemudiannya menulis sebuah buku autobiografi yang menceritakan pengalamannya ketika berkhidmat di Haiti, Libya, Nicaragua, Somalia, Afghanistan dan beberapa negara lain.

Buku yang berharga RM50 itu berjaya meraih simpati orang ramai untuk menderma bagi membeli ubat kepada mangsa peperangan dan bencana alam melalui akaun peribadinya.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, hasil laporan tersebut, dia bersama empat peguam menjalankan penyelidikan ke atas buku dan lelaki yang mendakwa dirinya doktor pakar bedah.

Menurutnya, nama lelaki tersebut didapati tidak diiktiraf sebagai doktor oleh Persatuan Perubatan Malaysia.

“Untuk menjadi seorang pakar memerlukan masa lebih kurang lapan hingga 10 tahun tetapi mustahil bagi pemuda ini untuk bergelar pakar dalam usia muda,” katanya pada sidang media di Bangunan MCA, Ampang, di sini, semalam.

Chong berkata, selepas mendapati kegiatannya disedari, lelaki tersebut memohon maaf melalui akaun Facebooknya pada 14 Ogos lalu dan akan memulangkan RM38,099 sumbangan yang telah diberikan kepadanya.

Menurut Chong, pihaknya mendapati, doktor palsu tersebut telah menerima RM48,792 sumbangan di Melaka yang terimanya pada April lalu.

“Jumlah ini bertentangan dengan yang diberitahunya sebelum ini, dan mahu polis menyiasat kes ini kerana menipu,” katanya.

Beliau berkata, empat laporan melibatkan penipuan doktor bedah palsu tersebut telah dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada Jumaat lalu, bagi tindakan selanjutnya.

Chong berkata, lelaki tersebut pernah mendapat liputan meluas daripada media tempatan kerana menjadi pakar bedah termuda dan menghulurkan kepakarannya di negara yang bergolak dan dilanda bencana.

MALAYSIAKINI LANGGAR PRINSIP ASAL.....



KUALA LUMPUR  - Portal berita propembangkang, Malaysiakini dianggap tidak memenuhi ikrarnya kepada rakyat berikutan semakin jauh menyimpang daripada prinsip asal yang dilaung-laungkan iaitu menjadi medium penyampaian maklumat bebas dan seimbang.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariyaberkata, ini kerana 'pembingkaian kandungan editorial' portal itu terlalu memihak kepada pembangkang dan begitu agresif memburukkan usaha-usaha kerajaan.

"Ia jelas menampakkan sikap tidak profesional Malaysiakini terutama dalam menjunjung kredibiliti dunia kewartawanan dan media.

"Lebih malang, portal berita ini semakin hanyut dalam mengetengahkan 'suara-suara' yang menentang apa jua inisiatif kerajaan untuk pembangunan dan kebaikan rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Beliau mengulas kritikan pelbagai pihak yang mendakwa Malaysiakini sudah menyimpang daripada perjuangan asal sebagai penyampai sumber berita kepada umum.

Malaysiakini diketuai oleh Ketua Pengarang Kumpulan dan pengasasnya, Steven Gan.
Berdasarkan laporan dan artikel yang dihasilkannya, Chamil menyimpulkan, ia tidak lagi relevan dijadikan sumber berita oleh masyarakat.

Dalam nada sama, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, Malaysiakini perlu mendukung integriti sebagai sebuah organisasi media dengan menyebar maklumat yang objektif.

"Justeru, balik kepada perjuangan asal supaya rakyat lebih menghargai peranan dan agendanya (Malaysiakini)," katanya.

PAS TERSEPIT ISU NASHA vs KARPAL

nasha-pc-karpal

Apa akan jadi dengan Nasharudin Mat Isa atau ustaz Nasha yang mencadangkan PAS keluar dari pembangkang kerana DAP menentang Hudud?’
Apakah beliau senasib dengan bekas Naib Pesuruhjaya PAS, Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat ekoran kenyataan mengenai moral Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Jika PAS sanggup mengorbankan Adun Gombak Setia itu kerana setianya parti itu kepada Anwar, tidak mustahil Nasha, ahli parlimen Bachok juga bakal jadi korban kerana sayangnya PAS pada Karpal.
Mungkin itu diharap-harapkan golongan Anwarinas dalam PAS yang berkiblatkan Ketua Pembangkang itu selepas mereka berjaya menyingkirkan Nasha daripada mengekalkan jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti tahun lalu.
Namun, untuk memecat Nasha yang sanggup berdepan Karpal di mahkamah demi mempertahankan kenyataannya bahawa pengerusi DAP itu anti Islam dan Hudud, bukan semudah PAS menamatkan keahlian Dr Hasan yang berbelas tahun setia kepada parti itu.
Nasha jelas memperjuangkan yang hak seperti ditegaskan dalam kenyataan sebelum ini bahawa beliau dididik dalam PAS bahawa ajaran Islam itu syumul merangkumi setiap aspek kehidupan.
“Di dalamnya ada akidah, perundangan dan akhlak. Menolak sebahagian dari Islam bermakna menolak Islam. Saya kekal dengan pendirian saya bahawa Karpal Singh anti Islam dan bersedia bertemu beliau di mahkamah,” – tegas Nasha dalam sms kepada Agendadaily minggu lepas.
Pasti ramai pemimpin PAS kini menantikan apa parti itu akan lakukan terhadap Nasha selepas tersiar gambarnya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu pemimpin-pemimpin Islam di Mekah, Ramadhan lalu.
Ini termasuk Datuk Mahfuz Omar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta Pemuda PAS Terengganu yang kritis terhadap Nasha termasuk Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menegaskan ‘tidak hairan’ jika Nasha keluar parti menyertai UMNO.
Memang benar, ada pemimpin PAS melihat Nsha ibarat sampah dalam mata – boleh menghalang keakraban puak Anwarinas ini membenarkan PAS dikuasai Anwar dan DAP.
Bagaimanapun, dengan isu Karpal menolak Hudud dan dianggap anti Islam oleh Nasha, PAS terpaksa ‘menarik rambut dalam tepung’ dalam usaha menyelesaikan perkara ini.
Lagipun Nasha bukan bersendirian dalam perjuangan ini kerana sudah ada pemimpin PAS mulai bersuara.
Walaupun tidak menyatakan sokongan terhadap Nasha, tetapi kecaman terhadap Karpal menggambarkan bahawa ada pemimpin PAS tidak senang hati dengan tindak tanduk ahli parlimen Bukit Gelugor itu yang boleh mengancam parti berkenaan .
Contohnya, Timbalan ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz memberi amaran bahawa kritikan Karpal Singh berhubung pelaksanaan hukum hudud akan menyebabkan PAS kehilangan sokongan pengundi Melayu dalam pilihan raya akan datang.
Anak kepada Nik Aziz itu berkata, kenyataan pengerusi DAP itu memberi gambaran kepada masyarakat Islam bahawa DAP "tidak mesra Islam dan orang Melayu".
"Dari sudut sentimen, kelihatan Karpal Singh, melalui beberapa kenyataan terakhirnya, terlalu yakin DAP tidak memerlukan undi Melayu untuk menang selesa. Sama ada itu satu risiko yang boleh diserap oleh DAP atau tidak, tapi bagi saya hampir pasti boleh menjejaskan undi rakannya dalam Pakatan terutama PAS.
"Walaupun berhak atas nama hak bersuara untuk bercakap dan mengkritik, tetapi atas nama hak kesepakatan bersama pakatan juga perlu untuk tidak memanaskan isu yang 'setuju untuk tidak bersetuju', termasuk  perihal dasar perjuangan setiap parti.
"Sama ada kritikan beliau itu atas premis mempertahan sekularisme negara ataupun jahil mahupun keras pedal atau anti Islam, semua itu mendorong kepada andaian bahawa DAP tidak mesra agama Islam dan undi Melayu," kata Nik Mohamad Abduh.
Beliau mendakwa, kenyataan Karpal berhubung hudud sebelum ini juga bertentangan dengan pendirian bersama Pakatan Rakyat.
Sementara itu, ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan pula menyifatkan kenyataan Karpal yang terus mempertikaikan hudud "semakin keterlaluan" dan dijangka "bakal berdepan dengan kemarahan orang Islam".
"Saya saran DAP nasihatkan Karpal supaya tidak pertikai hukum hudud sekali gus jaga sensitiviti umat Islam serta hubungan baik sesama Pakatan," katanya.
Itu hanya sebahagian suara kecil dalam PAS yang sudah berbunyi kerana menyedari apa diperjuangan Nasha dan apa risiko jika Karpal terus bertegas minta ‘langkah mayatnya dahulu’ jika mahu dilaksanakan hukum Hudud.
Semestinya, PAS yang dijangka membincangkan isu kenyataan Nasha dalam mesyuarat Biro Politik parti itu yang dijadual pada Sabtu ini perlu rasional mencari penyelesaikan sama ada mahu menghadapkan Nasha kepada jawatankuasa tertinggi parti itu.
Sudah tentu PAS tidak boleh sewenang-wenangnya menunding satu jari kepada Nasha kerana tiga jari lagi akan menghala diri sendiri.
PAS juga tidak perlu lari topik apabila Nik Aziz cuba mengaitkan isu sama berhubung kenyataan pemimpin MCA yang turut menolak Hudud.
Barisan Nasional pasti ada cara penyelesaian terhadap isu itu tetapi sebagai parti yang sering mendabik dada kononnya memperjuangkan Islam,
semua mata umat Islam di negara ini tertumpu kepada bagaimana PAS mahu menyelesaikan kontroversi ini.
Setidak-tidaknya, Nasha sudah berjaya ‘menampar dan menutup mulut’ beberapa pemimpin PAS yang selama ini hanya tahu berkokok pasal Islam tetapi membenarkan tangan bergelumang najis apabila membiarkan sahaja Islam diperkotak katik demi nafsu mereka untuk menawan Putrajaya bersama Anwar.
PAS kini nyata tersepit kerana bagi Nasha, perjuangan menegakkan Islam tentu lebih besar berbanding PAS yang menjanjikan syurga tetapi perjuangan parti itu hanya memperalatkan agama semata-mata. -
OLEH ROSLAN BIAN

PENCULIK AHLI PERNIAGAAN DITAHAN


MELAKA : Tindakan pantas polis berjaya menumpaskan penculikan seorang ahli perniagaan dan membawa kepada penahanan lima lelaki dekat plaza tol Ayer Keroh di sini selepas berlakunya adegan kejar-mengejar.
Drama tersebut bermula kira-kira 9.10 malam Rabu apabila jutawan dari Bukit Katil itu yang terlibat dalam perniagaan hartanah ditarik keluar dari sebuah kereta di Kampung Portugis, Ujong Pasir.
Ahli perniagaan berusia 36 tahun itu yang dikenali sebagai Ah Lang tiba menggunakan sebuah kereta Porsche untuk berbincang mengenai urusan hartanah dengan lima individu.
Menurut saksi, kekecohan berlaku selepas dia meletakkan kereta dan dilarikan menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis menerima panggilan kira-kira pukul 9.15 malam dan menghantar unit peronda ke tempat kejadian.
"Operasi dilancarkan serta merta untuk mengesan sebuah Toyota Alphard berwarna hitam dan menyelamatkan mangsa," katanya.
Dalam usaha mengelirukan polis, suspek turut menghubungi adik bongsu mangsa dengan mengatakan bahawa Ah Lang berada di sebuah pusat karaoke di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, adik mangsa memberitahu polis bahawa Ah Lang tidak suka berhibur.
"Ini mendorong kita untuk mengesan kesemua panggilan yang dibuat kepada adiknya," katanya.
Penculik itu kemudiannya membawa Ah Lang ke Kuala Lumpur dan meminta wang HK$20 juta (RM10 juta) sebagai bayaran broker untuk urusan hartanah di Hong Kong.
Mereka kemudiannya membawa mangsa kembali ke Melaka, tempat untuk membincangkan urusan hartanah dengan lebih lanjut apabila polis mengesan kenderaan tersebut dekat plaza tol Ayer Keroh sebelum berlakunya adegan kejar-mengejar.
Kenderaan tersebut berjaya dipintas di sebuah lampu isyarat kira-kira 800 meter pada pukul 5.30 petang Khamis.
Raja Sharom berkata, kelima-lima suspek berusia di antara 36 hingga 51 tahun berasal dari Melaka, Johor Baru dan Kota Kinabalu.
Mereka ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan.
Salah seorang suspek mengenali mangsa manakala empat yang lain mempunyai rekod jenayah.
Raja Sharom berkata, ahli perniagaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi polis menghantar mangsa ke hospital untuk pemeriksaan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan P.R. Gunarajan yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat itu berkata, polis menjejaki mangsa menerusi panggilan telefon yang dibuat kepada adik mangsa.
Beliau berkata, polis di Kuala Lumpur turut bersiap sedia dan beberapa kereta peronda turut bergegas ke plaza tol Sungai Besi sebaik saja maklumat bahawa penculik menuju ke ibu negara diterima.
"Kami difahamkan kira-kira pukul 5.20 pagi, penculik memandu kembali ke Melaka dan menghampiri plaza tol Ayer Keroh, kami sudah bersedia untuk menahan mereka," katanya.

TIKAM BAPA SAUDARA KERANA GILA INTENET


Hiasan

TAIPEI  - Seorang remaja perempuan didakwa menikam bapa saudaranya sehingga mati setelah bapa saudaranya itu menegurnya supaya berhenti melayari Internet pada lewat malam.

Menurut laporan berita tempatan, gadis tersebut yang berusia 19 tahun dan dikenali dengan nama keluarga Lin, ditahan di bandar Miaoli di barat laut negara ini selepas dia disyaki menikam bapa saudaranya di perut menggunakan sebilah pisau sepanjang 29 sentimeter.

Berdasarkan siasatan awal, polis berkata, gadis tersebut dikatakan sedang melayari Internet pada kira-kira pukul 2 pagi dan bapa saudaranya meminta dia berhenti melayari Internet, menyebabkan berlaku pergaduhan kecil sebelum gadis tersebut mengeluarkan pisau.
Bapa saudaranya yang berusia 37 tahun itu meninggal dunia di hospital tempatan.

Menurut nenek suspek yang turut tinggal di rumah tersebut, mangsa yang merupakan seorang yang panas baran bertindak memutuskan bekalan elektrik di rumah itu ketika Lin sedang melayari Internet kerana berang dengan tindakan anak saudaranya itu tidak mengendahkan arahannya.

Gadis itu berdepan hukuman penjara sekurang-kurangnya 10 tahun atau hukuman mati jika didapati bersalah. - DPA