KOTA BHARU - Pas Kelantan tidak menafikan adalah haram mengundi golongan yang menentang Islam pada dasarnya namun ia dibolehkan bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO.
Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Mohamad Daud berkata, hukum itu boleh berubah mengikut keadaan dan waktu tertentu.
Beliau mendakwa, dalam situasi sekarang, dasar kerajaan BN jelas bercanggah dengan tuntutan agama dan ia sepatutnya ditolak walau dengan apa cara sekalipun.
"Kita sedia maklum UMNO dan BN menolak perjuangan Islam, tolak hukum hudud selain banyak kepincangan yang berlaku dalam pemerintahannya seperti rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.
"Maka, Pas yang memperjuangkan Islam mesti tolak kerajaan yang membenarkan kemungkaran berlaku.
Untuk itu, kita memang tidak mampu melainkan dengan adanya pakatan pembangkang seperti sekarang.
"Kalau tidak undi DAP kita tidak boleh menang, jadi kita memerlukan satu gabungan yang besar untuk menjatuhkan kerajaan UMNO dan BN, maka ia dibolehkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mempersoalkan hukum dalam Islam mengenai tindakan ahli Pas mengundi DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, persoalan itu perlu dijawab oleh Pas kerana adalah jelas Pengerusi DAP, Karpal Singh dan keseluruhan pemimpin parti tersebut ketika ini menentang keras penubuhan sebuah negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.
Difahamkan sebelum ini, pemimpin tertinggi Pas seperti Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa mengeluarkan arahan meminta ahli-ahli parti mereka mengundi DAP.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat mengakui kapasiti yang ada pada parti itu sekarang terlalu kecil dan ia memerlukan kepada pakatan kukuh bagi menumbangkan kerajaan BN yang mempunyai banyak komponen.
~ Utusan Malaysia ~