Jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) adalah hak serta budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan langsung tiada kaitan dengan Bersatu, kata Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil.
Beliau berkata demikian ekoran kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal yang mahu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi direhatkan dari tugas sebagai TPM.
Isham turut menyarankan Faizal serta pemimpin parti berkenaan bersedia untuk dihadap ke mahkamah berkaitan kes rasuah pengundi dan skandal penyalahgunaan dana kerajaan.
“Faizal Azumu, saya cadang supaya kamu tidak perlu sibuk berkenaan urusan jawatan Timbalan Perdana Menteri, jawatan ini adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri untuk menentukan, bukannya kamu atau parti kamu PPBM (Bersatu).
“Daripada kamu (Ahmad Faizal) sibuk dengan kes mahkamah orang lain dan pemimpin-pemimpin Umno yang telah berlangsung selama lebih empat tahun di mahkamah akibat pendakwaan-pendakwaan terpilih oleh pemimpin-pemimpin dari parti kamu dulu.
“Saya saran supaya kamu atau rakan-rakan dalam parti kamu bersedia untuk dihadap ke mahkamah pula dan menjadi Kluster Mahkamah 2.0 kini akibat kes rasuah pengundi dan skandal penyalahgunaan dana kerajaan yang terbesar dalam sejarah Malaysia,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Menurut Isham, ketika Bersatu berada dalam kerajaan, pemimpin parti itu banyak terlepas daripada pendakwaan kes jenayah apabila wakil rakyatnya bertindak melompat parti.
“Adakah kamu rasa kamu atau rakan-rakan kamu akan dapat terlepas begitu sahaja lagi kali ini dengan mengalih perhatian kepada isu orang lain dan dengan memanggil rasuah kamu itu sedekah?
“Rakyat tidak akan lupa kes-kes ini. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Kamu perlu fokus kepada masalah kritikal kamu dan parti kamu ini.
“Sesiapa yang melakukan jenayah dan rasuah tidak boleh terlepas dari pengadilan di dunia atau di akhirat. Bersiaplah,” katanya.
No comments:
Post a Comment