KUCHING : Sudahlah mabuk, pukul orang pula. Itu kisah sebenar video dua lelaki memukul seorang lelaki dalam kejadian dikatakan berlaku di Jalan Bako, di sini, yang ‘viral’ di laman sosial sejak petang tadi.
Kejadian 3.30 petang itu sebenarnya berlaku di Jalan Demak, di sini, membabitkan mangsa berusia 46 tahun yang sudah membuat laporan polis selepas kejadian.
Berdasarkan laporan dibuat, pada mulanya mangsa bersama rakannya yang memandu Toyota Unser melalui kawasan berkenaan sebelum mendapati ada sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran ditunggang dalam keadaan bahaya.
Rakan mangsa membunyikan hon untuk menegur penunggang motosikal itu tetapi menerima ‘hadiah’ isyarat lucah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Entusa Imam berkata, penunggang motosikal itu memberhentikan kenderaannya, diikuti mangsa dan rakannya.
“Mangsa dan rakannya memberhentikan kenderaan, turun daripada kereta dan berlaku pertengkaran dengan penunggang motosikal yang dipercayai dalam keadaan mabuk.
“Tiba-tiba penunggang motosikal itu dengan rakannya memukul mangsa dengan topi keledar, manakala rakan mangsa dihalang daripada membantu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
“Akibat kejadian itu mangsa lebam di kepala dan dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya
Menurut Entusa, siasatan masih dijalankan dan setakat ini belum ada tangkapan dibuat.
“Saksi yang menyaksikan kejadian diminta tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya. - Harian Metro
SUSULAN DARIPADA ITU....
KUCHING : Mahkamah hari ini mengeluarkan perintah tahan reman selama empat hari ke atas tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes membelasah seorang kontraktor di Jalan Demak semalam.
Pendaftar Mahkamah Kanan Kuching Bryan Mason memerintahkan ketiga-tiga suspek; yang berusia 21-tahun (dari Kampung Bako Ulu, Kuching), 26-tahun (dari Bandar Baru Samariang, Kuching) dan 27 tahun (juga dari Kampung Bako, Kuching) ditahan bagi membantu siasatan untuk memberkas individu-individu lain yang dipercayai terlibat sama dalam kejadian tersebut.
Suspek-suspek dipercayai individu yang terlibat dalam visual rakaman video pergaduhan itu termasuk dua lelaki yang membelasah dan juga juru kamera yang mengambil visual yang berdurasi selama 56 saat berkenaan.
Dalam insiden yang berlaku lebih kurang jam 3:30 petang semalam, mangsa dilihat telah dibelasah oleh dua orang lelaki, yang salah seorangnya menggunakan helmet.
Video pergaduhan tersebut tersebar luas melalui media sosial dan mencetuskan kemarahan orang ramai khususnya netizen di Malaysia.
Pihak polis bertindak cemerlang dengan memberkas ketiga suspek dalam satu serbuan lebih kurang jam 2 pagi tadi. Sumber: www.sarawakiana.net
No comments:
Post a Comment