Friday 28 November 2014

#PAU2014 : UMNO DIGESA TIDAK DENGAR NASIHAT YANG SALAH !!!


KUALA LUMPUR 28 Nov - UMNO perlu mengenal pasti untuk mencari pemimpin yang berkelayakan dalam memimpin parti terbesar kaum Melayu itu supaya dasar perjuangan parti itu untuk membela nasib kaum Melayu tidak terabai.

Wakil Perak, Datuk Mohd Radzi Manan (gambar), berkata UMNO seharusnya tidak hanya mendengar pandangan segelintir pihak ketika sesi pemilihan.

"Kenal pasti individu yang perjuangkan hak kaum Melayu, jangan kita tunduk pada kaum-kaum lain jika mahu UMNO terus gah dilihat sebagai pembela nasib Melayu

"Kita kena kenal pasti signal yang diterima... pastikan kita dapat signal yang betul dan baca signal ini dengan nada yang serius bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti tidak dipengaruhi oleh pihak luar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) disini, hari ini.

Menurutnya, musyawarah parti perlu dilakukan dalam membuat sebarang keputusan supaya tidak membelakangkan golongan pertengahan dan bawahan.

"Contohnya isu harga minyak naik... minyak naik sehari sebelum Hari Raya Haji, inilah yang kita katakan 'timing failed'. Sepatutnya kerajaan lebih prihatin... jangan dengar nasihat yang salah," katanya.

Selain itu, beliau turut berkata Ketua Pemuda dan Puteri perlu diberi peluang dalam mentadbir kerajaan supaya tidak timbul isu bahawa pergerakan Pemuda dan Puteri tidak menjalankan kerja.

"Tukarkan jawatan Ketua Puteri, beri mereka jawatan. Jangan hanya sekadar mencari Ahli Parlimen... Kalau kita tak bagi mereka kenderaan macam mana mereka nak berjalan? Lepas tu mulalah bersuara kata puteri ni tak bergerak, tak berjalan.

"Saya juga seru Pusat buat tindakan positif, tindakan yang lebih berkesan... bukan hanya bercakap dan berjalan tetapi tengoklah yang berada di bawah... kalau kita nak betulkan UMNO, kita kena betulkan dari atas," katanya.

Ekoran itu, beliau menggesa supaya pemuda dan puteri perlu menunjukkan kehebatan untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa dalam memastikan proses peremajaan parti dapat dilakukan dengan segera.

"Saya minta orang muda bangun tunjuk kewibawaan mereka dahulu... apa yang mereka boleh buat. Buktikan kepada pucuk pimpinan," katanya.


#PAU2014
 

No comments: