Sunday, 18 March 2012

FGVH JAWAB 4 TOHMAHAN MAZLAN ALIMAN

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Malaysia (ANAK), Mazlan Aliman, di lobi Parlimen pada Khamis lalu dikatakan tidak benar sama sekali dari fakta penyenaraian syarikat Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.
Presiden FGVH, Datuk Sabri Ahmad berkata, segala yang disampaikan oleh Mazlan kepada media itu tidak tepat dan sangat bercanggah dari realiti penyenaraian syarikat tersebut.
“Semuanya tidak benar, saya nafikan apa yang dia sebut pada Khamis lalu di Parlimen,” katanya pada program Himpunan Penulis Maya 2012 anjuran Mykmu.net di sini hari ini.
Beliau berkata, Mazlan mengutarakan empat kerisauannya mengenai penyenaraian FGVH mengikut kacamatanya iaitu tanah Felda Plantation yang dikatakan akan dipajak, modus operandi Felda Plantation Industries (MPI), isu ‘durian runtuh’ dan penubuhan sebuah syarikat khas (SPV).
Menurut Sabri, tanah seluas 360,000 hektar yang terlibat dalam penyenaraian tersebut melibatkan tanah Felda Plantation yang diserahkan kerajaan kepada Lembaga Felda pada tahun 1990 dan tidak sekali-kali melibatkan 500,000 hektar tanah milik para peneroka di seluruh negara.
“Premium tanah milik Felda Plantation tu semua dibayar oleh Felda, bukan free (percuma).
“Saya nak tekankan di sini bahawa tanah Felda Plantation tu bukannya dipajak seperti yang dikatakan Mazlan Aliman, tanah tu di sewa…FGVH sewa dari Felda..kita bayar..kita sewa dalam jangka masa panjang..jadi ia milik kekal Felda,” tegas Sabri.
Justeru itu beliau berkata, kenyataan Mazlan yang kononnya tanah Felda Plantation tersebut akan tergadai itu sepatutnya tidak timbul memandangkan faktanya tidak benar sama sekali.
Selain itu, Sabri melahirkan rasa hairan dengan kerisauan AJK Pas Pusat itu mengenai modus operandi MPI yang dikatakan akan berubah dan tidak menyebelahi kepentingan para peneroka.
“Selama ini MPI tu saya yang uruskan, modus operandinya tak berubah sama saja sama ada sebelum penyenaraian atau selepas penyenaraian (FGVH)..termasuk harga sawit mentah, jadi apa yang Mazlan Aliman takutkan sangat?
“Tak berbeza, tak bertukar, saya pun tak tahu apa yang dia risaukan sangat,” katanya lagi.
Sabri turut menjelaskan mengenai isu ‘durian runtuh’ yang dipertikaikan oleh Mazlan yang berkeras mahu mengetahui jumlah sebenar yang akan diterima para peneroka dan sumber habuan yang akan diberikan Felda itu.
“Sudah (lebih kurang) 30 tahun para peneroka bersusah payah di dalam Felda dan hanya baru 10 tahun kebelakangan ini saja mereka dilimpahkan dengan kemewahan dari titik peluh mereka. Salah ke Felda nak berikan rewards (ganjaran) kepada mereka sekarang?,” persoalnya tentang kewajaran membalas budi lebih 112,000 keluarga peneroka Felda di seluruh negara.
Menurut beliau, ‘durian runtuh’ tersebut bersumberkan dari Felda sendiri yang merupakan hasil dari penjualan kepentingan para peneroka kepada Felda dan seterusnya kepada FGVH.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar ‘durian runtuh’ tersebut kerana menghormati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang akan mengumumkan jumlah habuan yang akan diterima para peneroka Felda dalam masa yang terdekat.
“Jumlahnya saya tak boleh beritahulah, itu hak Perdana Menteri..beliau yang akan umumkan dalam masa terdekat…tapi setahu saya jumlahnya boleh la para peneroka pergi Haji dua tiga kali,” ujarnya di hadapan para peserta.
Menjelaskan mengenai SPV, Sabri berkata, syarikat khas itu merupakan pelan B yang dibuat ekoran pelan A yang disabotaj oleh Mazlan dan ANAK melalui lapan orang ahli KPF yang memfailkan injunksi mahkamah terhadap KPF bulan lalu.
Sabri memberitahu bahawa injunksi dari lapan orang ahli KPF itu tidak mewakili lebih 220,000 jumlah ahli KPF yang sebenarnya mahu penyenaraian FGVH disegerakan, namun atas nama demokrasi dan undang-undang mereka berjaya mengagalkan proses penyenaraian tersebut.
“Jika lapan orang ahli KPF tu tak buat injunksi di mahkamah dan KPF pegang kepentingan dalam FGVH, ia akan memberikan keuntungan ekonomi yang banyak pada peneroka, misalnya jika RM2 bilion pelaburannya, maka peneroka akan menerima RM100 juta dividen, kalau RM3 bilion mereka akan terima RM150 juta…lebih banyak dari apa yang peneroka dapat dari Felda setiap tahun.
“Tapi injunksi itu menyekat semuanya..jadi kita buat pelan B untuk jamin kepentingan peneroka dalam penyenaraian ni..” jelasnya lagi.
Justeri itu menurutnya lagi, SPV dicadangkan sebagai pelan B di mana sebuah tabung khas akan ditubukan bagi memastikan kepentingan para peneroka terjamin dan menikmati imbuhan dari penyenaraian FGVH pada masa akan datang.

No comments: