Wednesday, 27 November 2013

PKR ROBAN LUMPUH - PENGERUSI, SETIAUSAHA DAN 108 AHLI SERTAI SPDP

KUCHING : Operasi PKR cabang Roban di Saratok, Sarawak, lumpuh selepas pengerusi dan setiausahanya keluar parti dan membawa bersama-sama mereka 108 anggota serta penyokong untuk menyertai Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Gani Eli, yang mempengerusikan cabang itu sejak 2011, mengetuai kumpulan yang keluar PKR itu untuk menyerahkan borang permohonan mereka kepada Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom di sini Rabu.
“PKR tidak ada hala tuju selepas pilihan raya (umum ke-13). (Kami telah dibiarkan) macam itu sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan borang permohohan mereka di ibu pejabat SPDP di sini.
Beliau berkata lebih banyak anggota dan penyokong PKR dari Roban dijangka mengikuti jejak mereka.
Sementara itu bekas Setiausaha PKR Roban Abang Mokhtar Abang Zulkifli berkata beliau menyedari parti pembangkang itu tidak dapat berbuat apa-apa untuk meningkatkan kehidupan rakyat.
“PKR tidak boleh diharap untuk masa depan tetapi kami yakin SPDP boleh membawa pembangunan yang dapat memajukan rakyat,” kata Abang Mokhtar.
Sebaik saja menerima borang permohonan mereka, Mawan menyifatkan keputusan kumpulan itu untuk keluar PKR sebagai berita baik bagi Barisan Nasional.
“Mereka memilih untuk menyertai arus perdana dan mahu bekerjasama (dengan Barisan Nasional) dengan menyertai SPDP,” katanya.
Beliau berpendapat di sebalik beberapa cabaran yang melanda SPDP sejak beberapa tahun lepas, parti itu tidak pernah kehilangan daya penariknya dan masih berjaya membawa kemasukan anggota baharu.
“Kami tidak pernah mengutuk orang sebaliknya sentiasa bersedia untuk menghulurkan persahabatan dan merapatkan hubungan,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment