Friday, 6 July 2012

MAYAT YASSER ARAFAT AKAN DIBEDAH..???



RAMALLAH: Presiden Palestin semalam memberi kebenaran kepada kemungkinan membedah siasat mayat Yasser Arafat berikutan permintaan daripada balu bekas pemimpin itu.
Perkembangan itu adalah susulan kepada pengesahan sebuah makmal Switzerland mengenai kehadiran tahap tinggi bahan radiokatif - polonium - pada barangan milik Arafat.

Perkembangan itu juga menyemarakkan kembali spekulasi mengenai punca kematian Arafat yang meninggal dunia pada 11 November 2004 pada usia 75 tahun di sebuah hospital tentera di pinggir Paris selepas puluhan tahun berjuang menentang Israel.

Balu Arafat, Suha, yang sebelum ini menolak bedah siasat berikutan kematian bekas pemimpin Palestin itu berkata, dia kini mahu pembedahan itu dilakukan selepas hasil ujian makmal berkenaan.

Dalam wawancara dengan stesen televisyen Al-Jazeera semalam, Suha tidak menjelaskan kenapa dia menunggu hingga lapan tahun untuk menyerahkan barangan milik suaminya, termasuk berus gigi, topi berbulu, untuk diuji.

Doktor Perancis berkata pada hari kematian Arafat, dia meninggal dunia akibat pendarahan otak yang teruk, berapa minggu selepas sakit tenat di kediamannya di Tebing Barat.

Berdasarkan rekod perubatan di Perancis, Arafat mengalami bengkak usus, demam kuning dan masalah penggumpalan saluran darah (DIC).

Namun, rekod itu tidak menyebut secara menyeluruh mengenai DIC, yang boleh terjadi akibat beberapa punca, termasuk jangkitan dan penyakit hati.

Ketidaktentuan itu menyebabkan sebahagian besar penduduk dunia Arab yakin Arafat dibunuh oleh Israel yang menganggapnya sebagai penghalang kepada perjanjian damai. - AP

No comments:

Post a Comment