Saturday, 2 April 2016

4 RAKYAT MALAYSIA DICULIK DI LIGITAN


MIRI: Empat rakyat Malaysia diculik oleh lapan lanun bersenjata di perairan Semporna, Sabah ketika dalam pelayaran balik dari Filipina ke Malaysia, pukul 7 malam pada Jumaat.

Ketua Polis Miri, ACP Junaidi Bujang berkata, keempat-empat lelaki berumur 21 hingga 34 tahun itu bertugas di sebuah kapal didaftarkan atas nama ‘Masfive 6’ dan ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke Malaysia setelah selesai membawa kayu balak ke Manila, Filipina.

“Kejadian berlaku berhampiran Pulau Ligitan, Semporna, Sabah. Kapal yang digunakan untuk membawa kayu balak semasa kejadian tidak membawa sebarang muatan,” katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Junaidi berkata, empat lelaki tersebut berasal dari Sibu, bagaimanapun identiti mereka belum dapat didedahkan untuk mengelak rasa panik anggota keluarga.

Beliau berkata, identiti penculik juga belum dikenal pasti dan dikatakan mangsa dibawa lari menggunakan bot laju.

Junaidi berkata, laporan polis dibuat oleh pengurus pentadbiran syarikat perkapalan tersebut di Balai Polis Pusat Miri malam semalam dan salinan laporan polis itu telah difaksimili ke bilik gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Sabah untuk tindakan susulan.

“Pengurus pentadbiran berusia 35 tahun yang menetap di sini membuat laporan polis setelah menerima panggilan telefon daripada rakan setugas dari Sabah memaklumkan mengenai penculikan itu,” katanya.

Beliau berkata, pengurus itu akan ke Sabah secepat mungkin bagi mendapatkan situasi sebenar kes penculikan tersebut. – Bernama

Difahamkan, empat rakyat Malaysia itu ialah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29; dan Johnny Lau Jung Hien, 21, semuanya berasal dari Sarawak.

Nasib semua kru termasuk tiga rakyat Myanmar dan dua warga Indonesia setakat ini belum diketahui.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun, berkata pihaknya masih mengumpul manliest bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

"Setakat ini pasukan keselamatan belum menerima panggilan daripada penculik bagi permintaan wang tebusan," katanya.

No comments:

Post a Comment