Wednesday, 30 March 2016

PENEMUAN BEBERAPA SERPIHAN KUKUHKAN TEORI PAKAR #MH370 BERAKHIR DI SELATAN LAUTAN HINDI

mh370a

BENTONG – Penemuan beberapa serpihan pesawat di sekitar perairan Afrika Selatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, memperkukuhkan teori pakar bahawa pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi.


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, berikutan itu kerajaan akan terus berusaha mencari pesawat malang berkenaan walaupun berdepan pelbagai kesukaran termasuk kos pencarian yang meningkat dari semasa ke semasa.

“Sebelum ini, kita menemui beberapa serpihan di Mozambique, Pulau La Reunion yang menunjukkan ia (MH370) memang ada di sana (selatan Lautan Hindi).

“Tetapi, usaha hendak mencarinya bukan mudah sebab ia melibatkan arus yang kuat di kawasan perairan seluas 120,000 kilometer persegi dengan kedalaman enam kilometer, jadi rakyat harus faham… ini kerja sukar namun, ia perlu diteruskan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu dan majlis penyerahan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara bagi Daerah Bentong kepada 68 penerima di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Abdul Rahman Shariff.

Tiong Lai berkata, penemuan serpihan-serpihan berkenaan diharap dapat merungkai misteri kehilangan pesawat MH370 sekali gus mengakhiri misi pencarian yang mengambil masa dua tahun dan membabitkan kos lebih RM500 juta.

“Yang penting kita nak cari sampai dapat, sekarang banyak serpihan yang telah dijumpai. Kita berdoa agar pesawat itu dapat ditemui secepat mungkin kerana kita tidak mahu ia kekal sebagai misteri.

“Kita (kerajaan) mahukan jawapan sebab nak berikan jawapan kepada waris. Kalau tidak lebih banyak teori konspirasi akan keluar dan jika itu berlaku, ia tidak elok untuk imej negara dan rakyat Malaysia,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak enam serpihan pesawat ditemukan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Pesawat itu kemudiannya diumumkan berakhir di selatan Lautan Hindi dengan usaha pencarian di kawasan seluas 120,000 kolimeter persegi dijangka selesai Jun ini. – Bernama

No comments:

Post a Comment