Tuesday, 10 November 2015

“INILAH PENGORBANANKU BERULANG-ALIK DAN TINGGAL BERJAUHAN DENGAN ISTERI” – CATATAN TERAKHIR INSTAGRAM MANGSA KEMALANGAN MAUT LPT2

ANGGOTA polis memeriksa kereta yang dinaiki Muhammad Faizul Mohamad yang maut dalam kemalangan di kilometer 252.01 dekat Perasing LPT2, malam tadi.

Seorang jurutera syarikat swasta sempat memuat naik catatan di akaun Instagram mengenai pengorbanannya berulang-alik kerana tinggal berjauhan dengan isteri sebelum terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 252.1 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), dekat Perasing, semalam.

‘Inilah pengorbananku berulang-alik dan tinggal berjauhan dengan isteri’ menjadi catatan terakhir Muhammad Faizol Mohamad, 26, jurutera Ethylene Engineering di Kerteh yang maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya terbabas jam 10.45 malam.
Rakan mangsa, Hafifi Hasnan, 26, berkata, Muhammad Faizol sempat memuat naik beberapa gambar ketika dia dalam perjalanan dan memaklumkan hampir sampai ke rumah sewanya.
“Saya dapat lihat akaun Instagram miliknya dan arwah sempat muat naik gambar papan tanda Tol Jabor dan memaklumkan dia hampir sampai dan mencoretkan catatan itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Dia kemudiannya terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan serumah Allahyarham jam 12 tengah malam yang memaklumkan Muhammad Faizol terbabit kemalangan.
“Arwah sudah tiga tahun bekerja sebagai jurutera di syarikat kami dan setiap minggu akan pulang ke Seremban bertemu isterinya.
“Arwah seorang yang komited dalam pekerjaan dan disenangi rakan-rakan. Kehilangannya amat kami rasai,” katanya.
Kemalangan itu dipercayai berlaku kerana keadaan jalan licin berikutan hujan sebelum keretanya terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh konkrit jambatan Sungai Perasing.
Rempuhan yang kuat itu menyebabkan keretanya terbalik dan mangsa tercampak keluar dari kenderaannya.
Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Kemasik selepas bercuti dan bertemu isterinya di Seremban, Negeri Sembilan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.
“Siasatan lanjut mengenai kejadian itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.  Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment