Sunday, 15 March 2015

CUBAAN 'MALUKAN' TUN M DI KONVENSYEN UMNO KEDAH ???


‎ALOR SETAR - Jika PAS kini terkenal dengan kewujudan puak yang dikenali sebagai "jebon‎", UMNO Kedah hari ini dikejutkan dengan puak yang hampir serupa yang dikenali sebagai "jemuan" yang cuba melakukan sabotaj terhadap Konvensyen UMNO Negeri Kedah.
Menurut sumber, puak "jemuan" berkenaan telah bertindak menggantung beberapa kain rentang mengecam mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di sekitar kawasan berlangsungnya konvensyen itu.

Difahamkan bahawa kain rentang tersebut mendakwa Tun Dr Mahathir cuba memecah belahkan bangsa Melayu.

Bagaimanapun, usaha yang dilakukan puak "jemuan" tersebut telah berjaya dipatahkan dan kain rentang berkenaan telah dibawa turun seawal pagi tadi sebelum konvensyen bermula.

Difahamkan bahawa konvensyen UMNO Kedah yang julung-julung kali diadakan itu menyediakan satu slot istimewa untuk para peserta berbicara santai bersama negarawan ulung itu dalam satu majlis makan malam, namun dibatalkan.

Sumber turut menjelaskan bahawa kemungkinan besar tujuan puak "jemuan" berkenaan adalah untuk melaga-lagakan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Dr Mahathir.

Najib hari ini merasmikan majlis perasmian Konvensyen UMNO Negeri Kedah itu dan memberi amaran pada seluruh pemimpin, ahli dan penyokong parti untuk tidak menjadi "jemuan" dan terpengaruh dengan agenda busuk golongan yang cuba merobohkan keutuhan UMNO, khususnya di negeri Kedah.

Menteri Besar dan merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir turut menegaskan sokongan peribadi beliau dan seluruh warga UMNO Negeri Kedah yang tidak berbelah bagi terhadap kepimpinan Najib selaku Presiden UMNO. 

UMNO Negeri Kedah hari ini memulakan konvensyen berkenaan dan ia dijangka berakhir petang esok selepas sesi membentang resolusi yang dibincang di program berkenaan.‎ -Utaranews.com

1 comment:

  1. ni semua masalah dr mahathir. lebih teruk dari pembangkang dr mahathir ni.

    ReplyDelete