Thursday, 6 November 2014

PERBICARAAN PROFESSOR MADYA DR. AZMI SHAROM CABAR AKTA HASUTAN 1948 BERMULA HARI INI


KUALA LUMPUR  5 Nov - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini akan mula mendengar saman yang dikemukakan oleh pensyarah Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Azmi Sharom bagi mencabar Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang didakwa bertentangan dengan kebebasan bersuara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kes tersebut ditetapkan untuk pendengaran di hadapan Hakim Kamardin Hashim selama dua hari, hari ini dan esok. Azmi diwakili oleh peguam Gobind Singh Deo.

Kes ini jadi perhatian kerana ia akan memberikan kesan kepada semua pendakwaan jenayah berkaitan peruntukan undang-undang yang sama yang dituduh di mahkamah baru-baru ini.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 1 Oktober lepas membenarkan permohonan Azmi untuk memindahkan pertuduhan terhadapnya ke Mahkamah Tinggi bagi mencabar pendakwaan ke atasnya dari sudut Perlembagaan Persekutuan.

Azmi didakwa di mahkamah itu atas tuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan yang diterbitkan dalam The Malay Mail Online pada 14 Ogos 2014. Kenyataannya itu berhubung krisis kedudukan Menteri Besar Perak pada 2009. Dia mengaku tidak bersalah.

Sekiranya sabit kesalahan, Azmi boleh dikenakan denda sehingga RM5,000, penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Selain Azmi, Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Muda, Mat Shuhaimi Shafiei dilaporkan turut memfailkan permohonan yang sama mencabar keabsahan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dari segi perlembagaan.

Mahkamah Sesyen Kajang pada 12 Oktober lepas menangguhkan prosiding pendakwaan ke atas Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman sementara menunggu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan deklarasi yang dipohon oleh Azmi.

Gobind dalam reaksinya ketika itu menggesa semua kes pertuduhan di bawah Akta Hasutan ditangguhkan kerana sekiranya Azmi berjaya dalam permohonannya semua prosiding jenayah itu akan terbatal.

No comments:

Post a Comment