Monday, 14 July 2014

SERANG HENDAP PULAU MABUL : PENGGANAS ABU SAYYAF DENDAM, MARAH ESSCOM ???


KUALA LUMPUR : Insiden serangan hendap di Pulau Mabul yang mengorbankan seorang anggota Pasukan Polis Marin malam tadi, dipercayai bermotifkan dendam dan marah kerana peningkatan kawalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di perairan Sabah. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihaknya percaya penceroboh bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan kejayaan anggota keselamatan dan pertahanan negara menembusi kubu mereka. 


"Penceroboh balas dendam sebab Komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya tembusi kubu mereka termasuk menyelamatkan tebusan warga China baru-baru ini," katanya kepada BERNAMA hari ini. 

Beliau mengulas mengenai insiden yang menyebabkan anggota Pasukan Polis Marin, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, terbunuh dan Konstabel Zakiah Aleip, 26 hilang, dipercayai diculik penceroboh di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna. 

Pengarah Operasi ESSCOM, Datuk Abdul Rashid Harun, dilapor berkata penyerang yang menggunakan senjata berat membuat serangan hendap dan membunuh anggota polis marin berkenaan kira-kira 11.10 malam tadi. 

Menurut Abdul Rashid, selepas melakukan serangan itu kumpulan terbabit melarikan diri ke perairan negara jiran. 

Pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China yang diculik lima lelaki bersenjata di Pulau Baik, Lahad Datu pada 6 Mei lepas berjaya diselamatkan polis pada 10 Julai. 
Ditanya mengenai status anggota yang masih hilang itu, Ahmad Zahid menjelaskan perkara itu akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan enggan mengulas lanjut. 

Ahmad Zahid berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan Filipina terutamanya dari segi bertukar maklumat risikan dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman di sempadan kedua-dua negara. 

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment