Monday, 24 March 2014

#MH370 - IBU TUA MENGAKU TIDAK DIKASARI OLEH POLIS MALAYSIA



Menyedihkan… itulah yang dapat disimpulkan apabila melihat video seorang ibu yang masih menanti kepulangan anaknya hingga ke hari ini.
Ibu itu adalah warga China, Liu Guiqui yang anaknya merupakan salah seorang penumpang pesawat MH730 yang masih belum diketahui khabar beritanya hingga ke hari ini.
Liu Guiqiu pernah menimbulkan kegemparan apabila dirakam meraung ketika muncul pada sidang akhbar di Hotel Sama Sama, Sepang 19 Mac lalu hingga ada media asing yang memainkan isu ini untuk membuktikan Kerajaan Malaysia mengecewakan keluarga penumpang pesawat warga China kerana banyak berselindung fakta dan diberi layanan buruk.
Namun hakikat sebenarnya, ibu kepada penumpang bernama Li Le ini menjelaskan pada sidang media bersama China Central Television (CCTV), dia tidak pernah dilayan buruk oleh polis.
Sebaliknya semasa sidang akhbar yang diadakan pada 19 Mac lalu, dia membuat keputusan pergi ke sana untuk bertanyakan sendiri ahli politik Malaysia khabar berita tentang anak lelakinya yang tidak diketahui sampai ke hari ini.
“Saya dikerumuni oleh pemberita. Ada seorang anggota polis muda yang pada mulanya saya ingatkan mahu menarik saya.
“Pada mulanya saya tidak faham apa yang berlaku tetapi seseorang memberitahu saya jangan panik. Mereka meyakinkan saya, mereka berada di situ untuk melindungi saya,” kata Liu.
Tentang dakwaan menyatakan Kerajaan Malaysia tidak mendedahkan semua maklumat, Liu berkata dia tidak peduli kerana dia hanya mahukan anaknya dan semua penumpang pesawat berkenaan kembali dengan selamat.
“Saya tidak percaya perkara itu berlaku. Saya percaya mereka (Kerajaan Malaysia) juga amat tertekan. Saya faham bahawa mereka kini sibuk mencari pesawat yang hilang itu.
“Oleh itu memang patutlah mereka tidak dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada keluarga terlibat,” katanya.
Bila ditanya apa yang akan dikatakan kepada si anak jika dia boleh mendengar pesanannya, Liu menangis sambil berkata: “Nak, mak tunggu kamu balik. Mak yakin kamu akan balik dengan selamat.”
Liu turut berterima kasih kepada semua negara yang bersungguh-sungguh membantu mengesan pesawat MH730 sehinggakan ibu tua ini tiba-tiba turun dari kerusi lalu melutut sambil menangis tanda penghargaan yang tidak terhingga- Mynewshub

No comments:

Post a Comment