Monday, 31 March 2014

#MH370 - APAKAH HASRAT HATI HISHAMUDDIN SETIAP KALI SEBELUM SIDANG AKHBAR ..... ???


KUALA LUMPUR :

Apa yang sering bermain dalam fikiran pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin sebelum beliau memasuki bilik sidang akhbar yang bersiaran secara langsung setiap hari sejak tiga minggu lepas?

“Keluarga penumpang dan anak kapal. Bahagian paling sukar bagi saya ialah mengetahui mereka akan menonton dan mengharapkan sesuatu… bahawa saya boleh memaklumkan kepada mereka berita gembira atau yang mengakhiri penantian mereka,” katanya.

Beliau mendedahkan perkara ini ketika ditemu bual media tempatan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Hishammuddin, 52, yang menjalani rawatan angioplasti hampir empat bulan lepas, beliau mengakui kurang tidur selepas insiden berkenaan.

“Tak tidur sebab zon masa. Maklumat datang dari pelbagai zon masa. Maklumat yang seperti ini umpama ‘roller-coaster’ untuk saya. Sebelum nak tidur, orang kata ada tumpahan minyak, esok pagi kata negatif.

Baru nak tidur, kata ada (jumpa) jaket keselamatan, esok bangun kata negatif. Itu yang saya lalui bersama anggota Kabinet khususnya Perdana Menteri,” katanya.

Empati beliau terhadap keluarga terbabit diluahkan secara terbuka sebelum ini, dan Hishammuddin berharap waris mereka yang berada dalam pesawat malang itu faham bahawa kerajaan Malaysia sedang berusaha sedaya upaya serta konsisten dalam insiden yang tidak pernah berlaku dalam sejarah penerbangan.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Pada Isnin lepas, iaitu hari ke-17 operasi mencari, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan AAIB United Kingdom, penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”.

Hishammuddin yakin tragedi itu membawa hikmah tersendiri apabila semua rakyat Malaysia, tidak kira agama, bangsa atau fahaman politik bersatu mendoakan yang terbaik dan mempertahan negara apabila ‘dihentam’ media asing.

Saban hari, laman sosial Hishammuddin, yang juga anak Perdana Menteri Ketiga Malaysia Tun Hussein Onn, ‘dihujani’ kata-kata semangat meminta beliau tidak berputus asa.

“Kita tengok dalam Twitter, ramai pemimpin pembangkang yang beri kata-kata semangat kepada saya setiap hari. Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Terpulang kepada anda sama ada ingin melihat sesuatu perkara secara positif atau negatif,” katanya.

Ironinya, ini bukan kali pertama Hishammuddin ‘diuji’ dengan kejadian di luar jangka kerana setahun yang lepas, beliau atas kapasiti sebagai Menteri Dalam Negeri berdepan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Menganggap itu sebagai ‘asam garam’ pekerjaan pilihannya, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata kedua-dua insiden (Lahad Datu dan MH370) membawa cabaran berbeza.   “Ketika kejadian Lahad Datu, kita (Malaysia) tidak mempunyai sokongan dan kepakaran daripada dunia, saya secara peribadi berasa keseorangan dan maklumat yang kita terima tidak boleh dikongsi dengan orang ramai,” katanya.

Ini berbeza dengan tragedi MH370 apabila pelbagai negara, tanpa membangkitkan soal kewangan, menawarkan bantuan, menghantar aset terkini dan canggih selain berkongsi maklumat radar hanya untuk mencari MH370.

Ditanya bagaimana beliau melihat beberapa individu mengambil kesempatan daripada tragedi MH370, Hishammuddin berkata beliau kesal dengan kejadian itu namun yakin ‘hanya perkara yang baik akan menang di akhirnya apabila kebenaran terbukti’.

“Saya tidak pernah menyesal. Malah saya amat bangga menjadi pemangku Menteri Pengangkutan dan Menteri Pertahanan. Saya bangga dengan pasukan mencari dan menyelamat kita serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Kita berdiri sebagai sebuah bangsa.

“Saya tidak akan putus asa. Semua yang berlaku ada sebabnya. Saya buat yang terbaik dan tawakal kepada Allah,” katanya. – Bernama 

No comments:

Post a Comment