Friday, 21 March 2014

BUKAN KESILAPAN TEKNIKAL JIKA OBJEK ADALAH #MH370


Pakar keselamatan Australia percaya jika dua objek yang dikenalpasti dalam satelit ditemui sah milik MH370, ia sama sekali menolak teori awal mengatakan ia berpunca daripada kesilapan teknikal.

Neil Fergus, pengarah Risikan Olimpik Sydney 2000 dipetik berkata dalam MailOnline, sekiranya berlaku kesilapan teknikal, tidak mungkin pesawat tersebut boleh berada di perairan Lautan Hindi.

Fergus berkata, sekiranya sah serpihan tersebut milik MH370, ia bermakna kehilangan pesawat Boeing 777-200ER tersebut disebabkan oleh penumpang atau anak kapal.
 "Sekiranya serpihan yang ditemui itu milik MH370, berdasarkan lokasinya, kita boleh tolak ia disebabkan kesilapan teknikal," kata Fergus.

"Tidak mungkin jika kesilapan teknikal berlaku atau terbakar seperti disangka boleh terbang jauh sejauh ini. Ia menunjukkan campur tangan manusia."
Menurut Fergus, kerajaan Australia perlu fokus dalam mencari kotak hitam bagi mencari jawapan apa yang berlaku ke atas pesawat Malaysia Airlines (MAS) tersebut.

ABC News sebelum ini melaporkan pencarian pesawat MH370 semakin genting dengan bateri kotak hitam tersebut hanya mampu bertahan selama 30 hari. Usaha mencari kini masuk hari ke-13, bermakna tinggal baki 17 hari untuk mencari kotak hitam.

Terdahulu, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata tentera udara negara itu sedang menyiasat tentang kemungkinan serpihan daripada pesawat MH370 yang hilang itu ditemui di laut.

Ini berikutan penemuan dua imej satelit dengan saiz  24 meter (79 kaki) yang dipercayai tenggelam timbul di permukaan air. Kerajaan Malaysia ketika ini masih menunggu pengesahan kerajaan Australia sebelum menghantar aset ke lokasi.

Pihak berkuasa Malaysia Isnin lepas meminta Canberra mengambil tanggungjawab mencari di "Koridor Selatan" dalam usaha mencari Boeing 777 yang hilang pada pagi 8 Mac semasa perjalanan ke Beijing, China dengan 239 penumpang itu.

Kerajaan Malaysia percaya, pesawat itu secara sengaja ditukar hala tujunya dan terbang beberapa jam selepas keluar daripada laluan asalnya – sama ada ke utara Asia Tengah atau ke selatan di Lautan Hindi.

No comments:

Post a Comment