Monday, 27 January 2014

'MOLOTOV COCKTAIL' LETUPKAN KAIN RENTANG 'JESUS ANAK ALLAH' ..!!!


BALIK PULAU 27 Jan - Pihak polis akan memburu pihak yang tidak bertanggungjawab melontar 'molotov cocktail' atau bom botol di pekarangan sebuah gereja di Lebuh Farquhar dekat sini awal pagi ini.
 
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, suspek yang menunggang sebuah motosikal melempar botol berisi bahan letupan itu dari luar pagar gereja berkenaan sebelum melarikan diri.
 
"Kita telah menghantar pasukan forensik untuk menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti identiti suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Katanya, siasatan mendapati hanya satu daripada bahan letupan yang diisi dalam dua botol minuman keras itu meletup sehingga menyebabkan kebakaran bagaimanapun tiada kerosakan serius dilaporkan.      
 
Beliau berkata, polis telah mengambil keterangan daripada penjaga gereja yang menyaksikan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
 
Abdul Rahim berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan tertentu yang cuba menggugat ketenteraman awam dengan menimbulkan kekacauan sehingga menyentuh sensitiviti masyarakat di negeri ini.
 
Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menerima sembilan laporan berhubung isu kain rentang berbaur provokasi berkaitan kalimah Allah yang digantung di beberapa lokasi di negeri ini semalam.
 
Susulan insiden itu, polis menjalankan rondaan termasuk di 48 gereja di sekitar Daerah Timur Laut bagi memantau perkembangan keadaan, katanya.
 
Semalam, kain rentang bertulis 'Allah is Great (Allah Maha Besar), Jesus is  the son of Allah' (Jesus adalah anak lelaki Allah) dilihat digantung di pekarangan beberapa buah gereja dan sebuah perhentian bas di negeri ini.

No comments:

Post a Comment