Friday, 31 January 2014

HARAM KHIANATI AMANAH RAKYAT - AJK PAS PUSAT


Tindakan pimpinan PKR yang mempermainkan sistem demokrasi mendapat bantahan dan kecaman ramai pihak. Ramai yang melihat, tindakan Adun Kajang yang sengaja meletakkan jawatan bagi membolehkan Anwar bertanding sebagai satu pembaziran dan cuba memperbodoh-bodohkan rakyat.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi, terkejut dengan‘perancangan’ untuk mengadakan pilihan raya kecil yang bukan disebabkan kematian atau keuzuran . Menurutnya keputusan meletakkan jawatan untuk membolehkan pilihanraya kecil diadakan bagi memberi laluan pada seseorang yang lain disifatkan sebagai main-main.

“Pilihanraya ni sebahagian dari perjuangan. Bukan untuk melampias agenda peribadi atau kelompok tertentu. Bukan juga tempat untuk test power atau test market dan bukan juga untuk test drive. Jauh sekali menjadi papan catur untuk kick out rakan seperjuangan.

“Pilihanraya adalah medan rakyat memilih pemimpin dan pemimpin telah dipilih dengan penuh pengorbanan dan kepercayaan. Perbuatan sengaja meletakkan jawatan setelahmendapat mandat rakyat adalah satu langkah khianat pada amanah. Sungguhpun tidak lompat parti ia adalah tidak wajar . Kalau lompat parti, maka itu adalah dosa berganda,”katanya menerusi laman Facebook.

Nasrudin turut mengatakan tindakan bekas Adun Kajang yang meletakkan jawatan itu telah mengabaikan amanah dan mensia-siakan kepercayaan rakyat.

“Lebih malang kerana game ini dilihat cuba untuk mengkangkungkan rakyat. Sudahlah rakyat berhempas pulas mengharungi musim buka sekolah dengan kos sara hidup yang tinggi dan kenaikan harga barang yang melambung, kini wang, masa dan tenaga mereka mahu dihabiskan pula untuk pilihanraya kecil yang malang di Kajang.

“Roadshow GST, mobilisasi TURUN seperti tiada makna bagi mereka. Saat rakyat marah isu kos hidup dan derita dengan isu barang naik, mereka alih tumpuan yang menambah perit dan jerih rakyat. Momentum hilang. Akhirnya rakyat berkata, kami bertarung untuk hidup. Kamu bertarung sesama sendiri untuk merebut jawatan.

Bekas Ketua Pemuda Pas itu turut mempertikaikan tindakan tersebut kerana mengenepikan prinsip muafakat yang kononnya wujud di dalam pakatan pembangkang.Tambah parah apabila PKR langsung tidak berunding dan berbincang dengan Pas dan Dap.

“Ia satu tindakan memudaratkan rakyat dan mengkhianati amanah rakyat. Hukumnya haram bertindak begini.

Di dalam perkembangan yang sama, Pemuda Pas Selangor juga mengambil pendirian yang sama dengan mengecam tindakan PKR yang sengaja meletakan jawatan untuk memberi laluan kepada satu pilihan raya kecil.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim menegaskan jika PKR gagal memberikan penjelasan yang munasabah secara bertulis, mereka akan memboikot PRK DUN Kajang.

"Pemuda PAS Selangor sebulat suara bersetuju sekiranya PKR gagal berbuat demikianmaka arahan akan dikeluarkan kepada seluruh jentera Pemuda PAS Selangor untuk tidak memberikan kerjasama dalam kempen Pilihan Raya Kecil DUN Kajang jika calon yang dikemukakan adalah daripada PKR," katanya dalam satu kenyataan media. 

No comments:

Post a Comment