Tuesday, 24 December 2013

ELLIE SURIATI DIPECAT DARI 'KL CINTA MANDI TOQ'


Pelakon dan pengarah, Ellie Suriati (gambar) menyangkal dakwaan penerbit syarikat White Merpati Entertaiment Sdn Bhd, S. Baldev yang mendakwa dia menarik diri pada saat akhir sebelum penggambaran filem "KL Cinta Mandi Toq".

"Ingin saya tegaskan di sini bahawa saya tidak menarik diri seperti dilaporkan Baldev sendiri yang memecat saya apabila saya mempersoalkan tentang pengangkutan untuk ke lokasi penggambaran yang sepatutnya disediakan oleh pihak produksi.
"Mengapa dia ingin menyaman saya kerana bukan saya menarik diri tetapi dipecat. Saya yang menanggung kerugian dan bukannya dia. Apa yang dikatakan mengenai saya menerusi akhbar tersebut adalah tidak benar dan ia mengguris perasaan saya," katanya kepada mStar.
Akbar mingguan pada Ahad melaporkan Baldev mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriati Omar kerana gagal memulangkan semula wang pendahuluan yang diambil sebanyak RM4,500.
"Kalau saya bayar seperti yang diminta itu membuktikan saya tarik diri seperti didakwa. Saya tidak akan mengalah dan ditindas dengan begitu mudah."
Dalam pada itu, Ellie mahu menyerahkan perkara tersebut kepada Biro Aduan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) untuk nasihat sekaligus menyelesaikan masalah tersebut.
Tambah Ellie, dia mengakui silap tidak membaca keseluruhan kontrak tersebut kerana meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Baldev dan tidak menyangka telah ditipu.
"Saya tandatangan kontrak itu kerana telah diyakinkan oleh salah seorang pekerjanya yang memberitahu kontrak tersebut sama seperti mana syarikat produksi lain dan saya percaya sepenuhnya dengan syarikat tersebut.
"Kekecohan bermula apabila saya bertanya tentang pengangkutan untuk ke lokasi dan diberitahu pihak mereka tidak menyediakan pengangkutan dan ia telah termaktub dalam kontrak," katanya. sumber

No comments:

Post a Comment