Tuesday, 24 December 2013

DIANA BATU CAVES SEBAR INFO PALSU, IBU PEJABAT POLIS BUKIT AMAN KENA BOM !


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan catatan yang tersebar di laman sosial Facebook kononnya berlaku serangan ke atas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini yang menyebabkan kematian dan kecederaan.

Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman, Superintendan Lai Lee Ching berkata, keadaan di Bukit Aman tenang dan ia beroperasi seperti biasa.

Beliau menegaskan bahawa penyebaran berita palsu adalah perbuatan keji dan polis akan bertindak tegas terhadap pelakunya.

"Susulan penyebaran khabar angin itu, satu laporan polis telah dibuat dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu dengan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesalahan tersebut boleh membawa hukuman penjara dua tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali, kata Lai. 

Beliau meminta orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu seumpama itu atau berdepan tindakan undang-undang jika berbuat demikian.

Catatan di Facebook itu antara lain mendakwa Bukit Aman diserang sekumpulan pengebom berani mati yang mengakibatkan kematian dan kecederaan anggota polis. - Bernama

No comments:

Post a Comment