Sunday, 14 July 2013

ARAB SAUDI PERKETAT VISA HAJI

Visa haji diperketat

Arab Saudi larang golongan tua, pesakit kronik elak penyebaran MERS-CoV

Riyadh: Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan peraturan baru tidak mengeluarkan visa haji kepada golongan tua dan mereka yang mempunyai penyakit kronik tahun ini bagi mengelak penyebaran Sindrom Pernafasan Asia Barat - Virus Korona (MERS-CoV). 


Menurut pengumuman Kementerian Kesihatan negara itu, peraturan itu akan berkuat kuasa pada musim haji tahun ini dan musim umrah berikutnya.

Kami juga mahu mendapatkan maklumat mengenai usia warga emas yang tidak diberikan visa kerana mengikut takrifan Tabung Haji golongan terbabit adalah dalam kalangan mereka berusia 75 tahun ke atas,” Anis Zuhani Ahmad, Pengurus Besar Hal-Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji

Bagaimanapun jurucakap kementerian, Khalid Al-Mirghalani tidak menetapkan had umur namun berkata, golongan tua yang lemah dan tidak sihat dari segi perubatan tidak akan dipertimbangkan mendapat visa.

Beliau memberitahu Arab News, Kedutaan Arab Saudi di luar negara akan mematuhi arahan tegas kementerian yang dihantarnya menerusi Kementerian Luar itu.

Di Kuala Lumpur; Pengurus Besar Hal-Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji, Anis Zuhani Ahmad, berkata sehingga kini pihaknya belum menerima surat daripada Kerajaan Arab Saudi mengenai arahan terbaru itu.

“Kami juga mahu mendapatkan maklumat mengenai usia warga emas yang tidak diberikan visa kerana mengikut takrifan Tabung Haji golongan terbabit adalah dalam kalangan mereka berusia 75 tahun ke atas,” katanya. 
Selain itu, Arab Saudi juga tidak akan mengeluarkan visa haji dan umrah kepada mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, jantung dan buah pinggang.

“Jemaah lain dikecualikan adalah pesakit kecacatan imun, penyakit serius, wanita hamil dan kanak-kanak,” kata jurucakap itu.

Virus baru korona itu menjangkiti 66 orang, termasuk 38 kematian sejak September tahun lalu di negara pentadbiran diraja itu.

Kementerian Kesihatan negara itu katanya, mengambil semua langkah pencegahan bagi memerangi penyebaran penyakit itu dengan bantuan pakar perubatan tempatan dan antarabangsa termasuk pihak berkuasa daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sebagai tambahan kepada syarat itu, katanya kementerian menggariskan peraturan kuarantin di negara ini.

Ia termasuk sijil sah vaksinasi meningitis, 10 hari sebelum jemaah berangkat ke bandar suci Makkah dan Madinah serta vaksinasi polio oleh jemaah dari negara di mana penyakit itu berleluasa.

Ada juga syarat pilihan vaksin ke atas influenza sebagai langkah berjaga-jaga ke atas serangan selesema, tambahnya.

Katanya, kementerian menegaskan jemaah supaya menjaga kebersihan diri dengan betul. Mereka juga perlu memastikan masakan bersih, simpanan, pengangkutan dan kaedah hidangan bagi mengelak cirit-birit, muntah, keracunan makanan, disentri, demam kepialu dan taun. - AGENSI

No comments:

Post a Comment