Tuesday, 14 May 2013

ANWAR NI DAH TUA, JANGAN ROSAKKAN MINDA GENERASI MUDA - TIMBALAN PENGERUSI SPR


Sepanjang membuat liputan yang berkait dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), kalangan wartawan tak pernah tengok, baik pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof mahupun timbalannya, Dato Wira Wan Ahmad Wan Omar menunjukkan rasa marah.


Biasanya mereka akan bercakap dengan nada relaks dan adakalanya menyelitkan gurau senda supaya sidang media tak menjemukan. Tetapi pada sidang media SPR pada Sabtu, wartawan melihat sisi Wan Ahmad yang serius dan macam orang menahan bengang.

Rupa-rupanya orang nombor dua SPR itu sudah hilang sabar dengan tohmahan dan fitnah melampau yang bertalu-talu dilemparkan oleh pembangkang dan penyokong-penyokongnya terhadap SPR.

“Pada 5 Mei lalu, melalui Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13), 85.8% rakyat Malaysia telah buat keputusan dan sesiapa tak berpuashati boleh menggunakan saluran undang-undang dengan memfailkan petisyen ke mahkamah di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan

“Bila nak failkan petisyen, kumpulkan segala bukti, dapatkan peguam terbaik dan berhujahlah. Janganlah meraung sana sini, menghasut rakyat dan memfitnah badan yang menguruskan pilihanraya.

“SPR sungguh kecewa dan mengecam pemimpin yang sampai sekarang membuat rakyat keliru, mengheret anak-anak muda ke stadium dan jalanraya dan melanggar undang-undang untuk menghujahkan segala pembohongan,” katanya.

Kata-kata yang diluahkan oleh Wan Ahmad membuat wartawan terpaku. Perasaan kecewa dan marah memang jelas terpancar pada wajah orang nombor dua SPR itu.

Malah dia terus “sound” pembangkang terang-terangan, terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

“Ada yang kecewa tak dapat jadi Perdana Menteri. Ada yang kecewa tak boleh jadi Timbalan Perdana Menteri. Ada juga yang kecewa tak boleh jadi Menteri Dalam Negeri. Pilihanraya telah selesai dan rakyat telah buat keputusan. Yang kalah tetap kalah dan yang menang tetap menang.

“Mereka tuduh pilihanraya tak adil dan penuh dengan penyelewengan. Penasihat DAP menang di Gelang Patah, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang di Permatang Pauh, adakah itu hasil daripada pilihanraya yang tidak adil?”

Wan Ahmad terus membidas pemimpin pembangkang sebagai golongan yang tidak bertanggungjawab dan perosak pemikiran generasi muda.

“Saya sedih tengok anak-anak muda yang tak faham undang-undang, memakai baju hitam, meletak bendera Malaysia terbalik kerana terpengaruh dengan fitnah pembangkang,” katanya.

Wan Ahmad berkata, pada Jumaat, beberapa pelajar universiti dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah menyerahkan memorandum yang isi kandungannya sama dengan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan pembangkang.

“Katanya, SPR perlu bertindak secara adil dan amanah. Wah! Nak adil dan amanah macam mana lagi? Mereka dakwa pelbagai manipulasi serta penipuan telah berlaku. Manipulasi apa? Penipuan apa? Yang 89 kerusi parti pembangkang menang itu manipulasi dan penipuan ke?

“Mereka kata undi pos meragukan? Mereka tak faham ke undi pos kita sudah tukar jadi undi awal? Memang ada sedikit undi pos, tapi hanya bagi tentera yang bertugas di Lahad Datu, polis yang bertugas pada hari mengundi awal dan tak dapat mengundi awal, serta petugas SPR yang bertugas pada hari mengundi. Cara mereka menulis menunjukkan mereka tak buat penyelidikan dan tak faham.

“Mereka kata ada pengundi hantu? Kalau ada, sila bawa mereka ke mahkamah. Tunjuk nama dalam daftar pemilih, siapa dia pengundi hantu. Mengenai warga asing mengundi, ia adalah mustahil kerana aplikasi sistem kita akan menolak jika bukan warganegara cuba mendaftar.

“Mereka kata 40,000 warga Bangladesh dibawa untuk mengundi. Nama mereka tak ada dalam daftar pengundi. Nak bawa mereka dengan kapalterbang atau kapal laut. Nak mendarat di mana? Tan Sri Khalid Ibrahim menang di Pelabuhan Kelang sebab orang Bangla mengundi di situ ke? Teresa Kok menang lebih 50,000 majoriti dan bertahan di parlimen Seputeh sejak dulu sampai sekarang. Tak adil ke pilihanraya?”

Ditanya sama ada SPR akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap pemimpin pembangkang, Wan Ahmad berkata pihaknya sedang meneliti secara serius dan akan merujuk kepada penasihat undang-undang.

“SPR bukan ahli politik. Apabila berbuat sesuatu perkara, kita kena lihat implikasinya. Kita dilantik oleh Yang DiPertuan Agong. Anwar hanya dilantik oleh rakyat di Permatang Pauh. Kawasan dia sahaja yang memilih dia. Dia boleh cakap apa sahaja sebab dia tak bertanggungjawab.

“Go to court, don’t mislead the people. Keputusan pilihanraya akan diwartawakan sebelum hujung bulan ini. Selepas diwartakan, dalam tempoh 21 hari selepas itu, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang atau sesiapa yang tak puashati boleh fail petisyen.

“Anwar Ibrahim ini dah tua, jangan rosakkan pemikiran generasi muda. Kalau sudah ditakdirkan Allah tak jadi Perdana Menteri, redha dan terima ajalah. Rakyat dah buat keputusan. Kit Siang pula kata tak boleh terima dan nak pilihanraya baru. Dia ini kubur kata mari, rumah kata pergi.

Sumber: Agendadaily.

No comments:

Post a Comment