Wednesday, 6 March 2013

'TANYA SAMA ANWAR KENAPA DIA BERANG, NANTI JAWAB ANWAR, AKU LAH DALANG'.........


Kesilapan Anwar Dalam Insiden Lahad Datu

‘Anwar adalah dalang Insiden Lahad Datu’ merupakan kenyataan yang sudah mula dihadamkan oleh semua pihak. Bukan sukar untuk menghadamkan maklumat ini apabila Anwar sendiri membuktikannya melalui tindakan, kata-kata dan responnya mengenai insiden ini sebelum dan selepas ia berlaku. 

Antara yang paling ketara ialah ‘nyanyian’ Anwar di dalam beberapa siri ceramah jelajah Malaysia beberapa bulan sebelum ini yang berbunyi, “Tanya Sama Najib, Mengapa Kau Goyang, Nanti Jawab Najib, Sabah Dah Hilang." Nyanyian Anwar di beberapa ceramah ini telah pun di-upload dan disebar secara meluas di Youtube, sekali gus membuatkan para penyokongnya kelu untuk berkata-kata. 

Soalnya, kenapa dan mengapa Anwar menyanyikan sedemikian jika beliau bukannya dalang yang cuba menggoyangkan kerajaan dengan ancaman untuk ‘menghilangkan’ Sabah? Perkara ini dikuatkan lagi dengan twitter Tian Chua yang menyatakan beliau ke Filipina beberapa hari sebelum kejadian. Gambar-gambar pertemuan sulit Anwar dengan Nur Misuari, Pengerusi MNLF dijadikan asas kepada penglibatan Anwar.

Anwar cuba menepis penglibatannya dengan alasan bahawa pengganas yang mengganas di Lahad Datu bukan MNLF tetapi kumpulan tentera Sulu. Namun, belum sempat Anwar berhujah lebih panjang untuk membela diri, dunia mendapat laporan bahawa beberapa orang pengganas yang tumpas telah dikenalpasti sebagai ‘orang-orang Misuari’ atau MNLF. Dan kini, Nur Misuari sendiri telah menyerlahkan penmbabitannya dengan cuba menjadi ‘orang tengah’.

Hakikatnya, Anwar telah banyak membuat kesilapan dalam insiden Lahad Datu ini dan tindakannya yang ingin menyaman media tempatan yang hanya memetik laporan dari agensi berita Reuters dan Manila Post mengenai penglibatannya, merupakan kesilapan paling besar. Malah, blog Anwar juga hanya memberi kata dua kepada Utusan dan TV3 untuk menarik balik petikan tersebut, tanpa langsung ‘menyentuh’ Reuters dan Manila Post.

Lebih menarik, ugutan Anwar terhadap wartawan yang bertanyakan hal tersebut, yang berbunyi, ‘You ulang, I saman’ kini menjadi bahan jenaka di laman sosial sekali gus menjadi titik pengesahan kepada golongan atas pagar bahawa Anwar benar-benar terlibat.

Anwar juga tidak berani menempelak, jauh sekali menyaman Presiden Filipina, Benigno Aquino yang turut membayangkan dirinya sebagai dalang, dengan memetik laporan perisikan.

Jika diteliti kenyataan Anwar mengenai insiden ini, kita akan dapati bahawa beliau langsung tidak mengutuk pencerobohan pengganas Sulu mahupun MNLF, sebaliknya kenyataannya hanyalah berkisar kecaman dan kritikan terhadap kerajaan Malaysia serta tindakan polis dan tentera kita.

Jelas, Anwar begitu berhati-hati untuk tidak menyinggung pihak pengganas.

Memandangkan Anwar adalah ‘juara’ isu kad pengenalan dan kewarganegaraan di Sabah, adalah pelik sekali apabila Anwar tidak pula mempertikaikan kerakyatan bangsa Sulu di negeri tersebut. Sedangkan, sebagai orang yang begitu lantang mengkritik pemberian kerakyatan yang longgar, seharusnya Anwar menyarankan agar kerakyatan mereka ditarik balik sahaja. Tetapi, ini tidak berlaku, malah Anwar langsung tidak ‘menjentik’ orang-orang Sulu.

Mungkinkah Anwar sudah hilang ‘bakat’ lakonannya dalam politik sehingga terlupa untuk membawa watak nasionalis tulen yang sayangkan negara sepertimana sepatutnya? Apapun, kita faham akan kesukaran Anwar untuk membawa berpuluh-puluh watak sekali gus, dalam satu masa. Anwar tidak mungkin boleh membawa watak nasionalis dengan mengutuk pihak Sulu atau MNLF kerana mereka adalah merupakan ‘alat’ dan ‘umpan’ baginya untuk berkuasa. Pendek kata, mereka bekerja untuknya.

Justeru, Anwar hanya mengulang-ulang skrip yang sama iaitu ‘ingin menyaman Utusan Malaysia, TV3 dan siapa saja yang bertanyakan soalan yang tidak mampu atau tidak berani dijawabnya’, serta mengutuk UMNO, BN dan kerajaan Malaysia atas segala apa saja yang berlaku di Lahad Datu, Semporna mahupun di mana saja di dunia!

Dan inilah saja yang mampu dibuat oleh Anwar setakat ini, iaitu kesilapan demi kesilapan. Kepada Anwar, kita nyanyikan, “Tanya sama Anwar kenapa Dato’ Seri berang, nanti jawab Anwar aku-lah dalang!”

No comments:

Post a Comment