Friday, 5 October 2012

AWAS !!! VAN PUTIH..!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!


Hiasan
KUALA LUMPUR  : Tindakan seorang remaja perempuan berpura-pura pengsan selepas dipukul tiga lelaki yang menculiknya dalam sebuah van menyelamatkannya daripada menjadi mangsa rogol, bunuh dan bakar dalam kejadian di Bandar Sri Permaisuri, di sini, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang berusia 17 tahun berjalan keseorangan ke sebuah sekolah di kawasan berhampiran untuk menjemput sepupunya berusia lapan tahun pulang apabila tiba-tiba van putih berhenti dan terus menariknya masuk ke dalam kenderaan itu.

Bagaimanapun, selepas 500 meter perjalanan, mangsa berpura-pura pengsan sejurus dipukul sebelum berjaya melarikan diri ketika tiga lelaki terbabit keluar untuk menculik seorang lagi gadis berhampiran jambatan laluan komuter di Salak Selatan.

Menceritakan kejadian itu, mangsa yang ingin dikenali sebagai Iqa berkata, setiap hari dia menghantar sepupunya itu ke sekolah.
Menurutnya, pada hari kejadian, dia berjumpa dengan rakan lelakinya di kawasan berhampiran selepas menghantar sepupunya itu ke sekolah sebelum datang semula ke sekolah itu kira-kira jam 1 tengah hari untuk menjemputnya pulang.
"Tiba-tiba sebuah van putih datang dan seorang lelaki tidak dikenali terus keluar lalu menarik tangan saya, Saya cuba melawan dan seorang makcik yang menyedari kejadian itu cuba membantu.
"Namun lelaki itu berbohong kononnya dia teman lelaki saya menyebabkan wanita itu enggan campur tangan dan terus beredar," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Mangsa menceritakan detik cemas kepada wartawan Harian Metro. Pix: Harian Metro Mangsa menceritakan detik cemas kepada wartawan Harian Metro. Iqa berkata, ketika di dalam van itu, lelaki berkenaan turut mengacu pisau dan cuba mengambil kesempatan ke atasnya menyebabkan dia meronta.
"Kebetulan ketika itu telefon bimbit saya berbunyi dan tertera panggilan daripada ibu saudara saya yang bimbang selepas saya masih tidak pulang ke rumah. Bagaimanapun saya tidak sempat menjawab apabila ia dirampas mereka.
"Lelaki itu juga terus memukul belakang badan sehingga saya terjatuh. Bimbang dicederakan saya berpura-pura pengsan. Ketika itulah saya menyedari di bahagian bawah kerusi ada parang, pisau, dan pistol," katanya.
Menurutnya, ketika itu dia juga memasang telinga mendengar perbualan mereka yang ingin membawanya ke hutan untuk dirogol, bunuh sebelum dibakar.
"Saya menggigil ketakutan dan seluruh badan berpeluh. Mujur selepas 500 meter dari tempat kejadian mereka tiba-tiba berhenti dan keluar kerana menculik seorang lagi gadis.
"Saya kemudian bertindak pantas mengambil kunci kereta membuangnya di kawasan semak sebelum melarikan diri," katanya.
Iqa berkata, dia bersyukur kerana mereka gagal menangkapnya semula dan dia terus berlari semula ke sekolah sepupunya sebelum ditemui ibu saudara yang ketika itu mencarinya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan (Harian Metro)
~  mD 5/10/12

No comments:

Post a Comment