Thursday, 24 May 2012

NIZAR BERI KETERANGAN DI IPD IPOH


Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin hari ini tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh berhubung kenyataannya yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkomplot untuk merampas kuasa jika Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Nizar yang juga Adun Pasir Panjang tiba di perkarangan IPD Ipoh kira-kira jam 10.10 pagi sambil ditemani isterinya, Datin Seri Fatimah Taat dan tiga peguam, Leong Cheok Keng, Akhiruddin Taib dan Hatim Musa.
Selepas kira-kira sejam memberi keterangan, Nizar yang ditemui wartawan berkata, beliau hadir untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya yang mendapat liputan meluas media massa di negara ini.
“Hari ini, saya memenuhi arahan IPD Ipoh untuk memberi keterangan kepada polis dan layanan yang diberikan juga sangat baik.
“Saya bekerjasama dan memberi keterangan kepada polis kerana ada pihak tertentu membuat laporan polis berhubung kenyataan saya yang dilaporkan menerusi media massa.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan saya juga tidak dimaklumkan sama ada akan dipanggil semula untuk memberi keterangan,” katanya.
Pada 27 April lalu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menafikan dakwaan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kononnya Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi tentera dan meminta mereka berbuat sesuatu jika Barisan Nasional (BN) kalah Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
“Saya selaku Panglima Angkatan Tentera mewakili semua panglima Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta semua warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menafikan sekeras-kerasnya kenyataan itu. Segala dakwaan dan kenyataan Mohammad Nizar adalah tidak benar dan satu pembohongan.
“Sehubungan itu, saya sudah mengarahkan satu laporan polis dibuat berhubung perkara ini bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan tuduhan itu,” katanya
Mohammad Nizar dalam ceramahnya di Taman Desa Pakatan, Pengkalan, dekat Ipoh pada 23 April lalu, mendakwa Najib mengadakan pertemuan dengan semua panglima ATM dan meminta mereka melakukan sesuatu jika BN kalah pada PRU-13 nanti.
Ceramah Mohamad Nizar yang turut dimuatnaik dalam laman Youtube mendakwa semua panglima yang ditemui, enggan menuruti permintaan itu dengan mengatakan mereka akan mematuhi keputusan rakyat.


No comments:

Post a Comment