Thursday, 24 May 2012

BUDAK MAUT DISERANG BUAYA, MAYAT DITEMUI HILANG SEMULA..???!!!


SRI AMAN 23 Mei - Penduduk di Ulu Tekalong, Engkilili dekat sini gempar apabila menemui mayat seorang remaja berusia 13 tahun yang dipercayai akibat diserang buaya di Sungai Linggang petang ini.

Difahamkan, mayat mangsa, Peter Heerema Sadan ditemui pukul 6.55 petang terapung oleh beberapa penduduk kampung di kawasan Ijok Hilir, tidak jauh dari lokasi dia dikatakan hilang petang semalam.

Namun, mereka membiarkan mayat mangsa di sungai tersebut dan terus menghubungi pihak polis kerana khuatir keselamatan diri memandangkan kawasan berkenaan dikenali sebagai habitat buaya.

Bagaimanapun, sebaik sahaja pasukan penyelamat tiba, mayat remaja tersebut hilang semula kerana dipercayai telah hanyut dibawa arus sungai menyebabkan operasi mencari terpaksa diteruskan sehingga pukul 8 malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Deputi Supritendan James Johnathan ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

"Kita akan meneruskan operasi mencari sehingga mayat mangsa dijumpai semula," katanya.

Dalam kejadian petang semalam, Peter Heerema dan adiknya, Clement Bayang Man, 11, mandi di sungai tersebut yang jaraknya hanya lima meter dari kawasan rumah panjang mereka.

Clement kemudian dikatakan pulang ke rumah panjang sambil membawa satu gelen air dan meninggalkan mangsa bermain sendirian.

Sebaik sahaja kembali ke sungai, dia mendapati abangnya hilang dan pada masa sama dia melihat air berkocak di tempat mangsa dipercayai berdiri.

No comments:

Post a Comment