Sunday, 1 April 2012

SYABAS!!!!! ABRAJ AL-BAIT MENDAPAT SENTUHAN 18 ORANG ANAK MUDA MALAYSIA!!!!

Menara Jam Makkah Terima Sentuhan 18 Anak Muda Malaysia

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak tandus anak muda berbakat yang dihargai dunia luar dan antara buktinya dapat dilihat pada Menara Hotel Jam Diraja Mekah atau Abraj Al-Bait yang mendapat sentuhan 18 anak muda negara ini.
Seorang daripada mereka ialah Hairul Nizam Baharuddin yang merupakan pengurus projek di Syarikat Premier Composite Technology yang berpangkalan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.
Bercakap kepada Bernama di sini baru-baru ini, Hairul Nizam berkata semua anak Malaysia terbabit berkemahiran dan berpengalaman daripada segi kejuruteraan binaan dan terlibat sepenuhnya dalam kerja pemasangan menara jam tersebut.
Ini termasuk kerja pemasangan replika bulan sabit pada menara jam yang terletak berhadapan Masjidil Haram itu, kata anak kelahiran Melaka berkenaan yang ditemui ketika pulang bercuti ke tanah air.
“Semasa proses pemasangan bulan sabit, berlaku tiupan angin kencang dan pada masa itu ada enam anak buah saya sedang melakukan kerja pemasangan di ketinggian 500 meter dari tanah.
“Dalam keadaan itu, kabel yang membawa bahagian bulan sabit itu berpusing-pusing dan kita boleh agak kabel itu boleh putus. Pada masa itu keadaan sangat panik tetapi ada salah seorang anak buah saya yang lebih berpengalaman dan dia berjaya mengawal keadaan serta pemasangan tersebut berjalan dengan lancar,” katanya.
Hairul Nizam berkata pembinaan menara jam itu menggunakan bahan komposit iaitu sejenis fiber dan tidak banyak syarikat yang mempunyai kepakaran serta
teknologi mengenai bahan tersebut selain kosnya yang tinggi.
“Komposit ini satu bahan fiber yang berstruktur kukuh tetapi ringan, tahan lama dan tidak mudah bocor serta ianya boleh bertahan sehingga 20 tahun tanpa
sebarang penyelenggaraan berbanding aluminium yang murah dan berkemungkinan akan berlaku kebocoran dalam tempoh dua atau tiga tahun,” katanya.
Katanya di Malaysia terdapat beberapa buah kubah masjid yang dibina menggunakan bahan tersebut iaitu Masjid Putrajaya, Masjid Wilayah dan Masjid
Al-Bukhari, Kedah.
“Memang membanggakan kerana dapat bersama-sama tenaga pakar lain melakar sejarah di tanah suci,” katanya menara jam bernilai kira-kira RM9 bilion itu dijangka siap sepenuhnya tahun ini dan kini sudah 90 peratus siap. Mengenai cabaran yang  dihadapinya, beliau berkata masalah komunikasi menjadi halangan terbesar kerana rata-rata pekerja di sana tidak fasih berbahasa Inggeris.
“Saya berharap dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun akan datang saya dapat kembali ke tanah air dan berbakti di negara sendiri pula menggunakan kepakaran ini,” katanya.
Menara jam setinggi 601 meter dan berdiameter 46 meter itu merupakan yang tertinggi dan terbesar di dunia, mengatasi menara jam terkenal lain seperti Palace of Culture and Science di Warsaw, Poland dan Big Ben di London.
Menara jam itu dikatakan boleh dilihat dari jarak sehingga 17 kilometer pada waktu malam dan 12 kilometer pada waktu siang,  manakala cahaya daripada dua
juta lampu LED menghiasinya yang berkerlipan setiap kali azan berkumandang pula boleh dilihat dari jarak sehingga 28 kilometer pada waktu malam. – Bernama

No comments:

Post a Comment