Sunday, 1 April 2012

SHAMSIDAR...OHH!!! SHAMSIDAR.....


PANAS dan menggegar. Shamsidar Taharin, isteri Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali tiba-tiba menjadi tumpuan sepanjang minggu ini.


Dakwaan S. Nallakaruppan bahawa Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim pernah menjalin hubungan sulit dengan Shamsidar suatu ketika dahulu, kini menjadi bahan perbualan ramai.

Malah beliau bertekad untuk mendedahkan lebih mendalam tentang hubungan terlarang itu di mahkamah nanti.
Dakwaan Nallakaruppan amat serius. Walaupun ramai pernah mendengar cakap-cakap mengenai kisah tersebut tetapi kali ini ia didedahkan secara terbuka.

Lebih 30 tahun lamanya Nallakaruppan menjadi sahabat Anwar. Mereka berkongsi banyak rahsia termasuk aktiviti gelap ketika Anwar masih berada dalam Kabinet.

Jika di negara Barat, pendedahan tersebut pasti disusuli dengan tekanan masyarakat untuk mengetahui kebenarannya. Tidak kira sama ada pemimpin kerajaan atau pembangkang, mereka dituntut untuk mengambil tanggungjawab bagi menjelaskan kepada rakyat. Dalam negara demokrasi, pembangkang juga adalah institusi penting yang perlu dipelihara imejnya.

Hairannya setakat ini, Anwar belum tampil secara terbuka untuk menjawab secara menyeluruh dakwaan tersebut. (Writ saman ke atas Nallakaruppan berhubung dakwaan Anwar seorang biseksual juga masih belum diserahkan, seolah-olah ada sesuatu cuba dielakkan).

Shamsidar juga berdiam. Beliau berhak untuk diberi peluang mempertahankan diri dan bagi membersihkan nama atas sifatnya sebagai wanita dan isteri orang. Mengelak daripada menjawab, boleh ditafsir oleh rakyat bahawa dakwaan itu ada asas kebenarannya.

Ramai juga tertanya-tanya apa sebenarnya pendirian Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail selaku isteri Anwar. Begitu juga Azmin atas kapasitinya sebagai suami Shamsidar. Kedua-duanya turut membisu bagaikan serba-serbi tidak kena. Bukan sahaja hal PKR yang kian hancur harus ditangani, bahkan soal paling rumit melibatkan suami dan isteri masing-masing, menghantui mereka. Azmin sudah tentu tidak mahu dituduh dayus. Bayangkan presiden dan timbalan presiden PKR terperangkap dalam persoalan sebegini!

Dalam mencari jalan keluar, Awang mencadangkan agar kedua-dua pasangan tersebut tampil bersama dalam satu sidang akhbar. Anwar, Wan Azizah, Azmin dan Shamsidar boleh membuka laluan kepada wartawan bertanya apa sahaja soalan. Awang percaya Wan Azizah tidak menghadapi masalah untuk bersama Shamsidar buat seketika. Sekali lagi - semuanya demi Anwar - orang yang beliau anggap sebagai anugerah Tuhan.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

No comments:

Post a Comment