Wednesday, 18 April 2012

KIT SIANG HILANG PUNCA DIGELAR RASIS...


KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Penasihat DAP, Lim Kit Siang tertekan serta tidak mampu membalas hujah Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) yang menggelarkan Ahli Parlimen Ipoh Timur itu sebagai seorang rasis.
Bukan setakat itu, Kit Siang yang merupakan seorang anggota Parlimen veteran dilihat hilang punca dan gagal menjawab isu mudah yang ditimbulkan Abdul Rahman mengenai kenyataan pemimpin pembangkang itu di laman Twitter, pada hari kematian Teoh Beng Hock pada 2009.
Tidak cukup dengan itu, Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) dan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) dilihat marah dan bangkit untuk mempertahankan Kit Siang, namun hujah mereka dipatahkan dengan mudah oleh Abdul Rahman.
Menurut Abdul Rahman, sifat perkauman menebal Kit Siang terbukti apabila pada kira-kira pukul 4.30 petang, 16 Julai 2009 telah menyeru semua menteri berbangsa Cina dari MCA dan Gerakan mendesak Perdana Menteri menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock.
“Apa kena-mengena menteri-menteri berbangsa Cina dalam Kabinet yang dikaitkan oleh Ipoh Timur?
“Kalau Ipoh Timur rasa perlu ada suruhanjaya siasatan diraja pada waktu itu sudah tentu kena minta dengan Menteri Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Padang Rengas yang menjaga hal ehwal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Keterangan (Pindaan) yang dibacakan buat kali kedua.
Ekoran itu, Kit Siang bingkas bangun, namun hujahnya tidak menjurus kepada soalan Abdul Rahman.
Sebaliknya, Kit Siang cuba mengelirukan dewan apabila mendakwa mesej Twitter beliau pada tarikh tersebut turut mengaitkan menteri dalam UMNO serta komponen lain Barisan Nasional (BN), bukan sekadar menteri berbangsa Cina.
Abdul Rahman terus menyangkal penjelasan Kit Siang dan bertegas wakil rakyat DAP itu memang menyampaikan mesej perkauman kerana beliau merupakan `pengikut’ Kit Siang di Twitter.
“Pada masa dan ketika itu Ipoh Timur sengaja membangkitkan semangat masyarakat Cina terhadap pemimpin Gerakan dan MCA. Ipoh Timur, periksa `timeline’ (mesej Twitter pada 16 Julai 2009) anda, jangan `tweet’ seperti Kit Siang” tegasnya.
Justeru, beliau berharap pindaan Akta Keterangan kali ini dapat melindungi ketenteraman masyarakat dan mengingatkan para pemimpin serta rakyat supaya bertanggungjawab dalam penggunaan media alternatif dan sosial.

No comments:

Post a Comment