Thursday, 18 July 2019

KELAHIRAN SEMULA SODOM DAN GOMORA VERSI MELAYU ?


Sejak akhir-akhir ini hangat diperdebatkan dalam media sosial perihal unsur LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender) dalam filem diimport dari Barat. Kemudian ia disusuli golongan oportunis yang mengambil peluang mempromosi jualan dengan mengangkat terma gay dan pondan bagi menarik perhatian ramai.


LGBT secara mudahnya ialah perbuatan liwat (gay) dan sihaq (lesbian) juga disebut sebagai homoseksual. Naluri seks mereka lebih cenderung kepada sesama jenis. Istilah LGBT ini mula diguna pakai awal tahun 90-an. Kumpulan ini menggunakan bendera pelangi sebagai simbol keragaman dalam seksualiti insan.

Komuniti LGBT menuntut kebebasan daripada didiskriminasi dengan beranggapan ia hak asasi manusia (HAM). Setakat ini, 22 negara mengiktiraf kewujudan kumpulan ini dan menjadikan perkahwinan sejenis sah.
Perbuatan homoseksual ini sinonim dengan kaum Nabi Luth iaitu kaum Sodom yang dilaknat tuhan kerana perbuatan mereka yang dimurkai Allah, lalu mereka diazab dengan gempa bumi disertai dengan angin kencang dan hujan batu (batu daripada api) yang menghancurkan serta-merta keseluruhan kaum Sodom dan penghuninya.
Faktor jadi LGBT
Oleh kerana sering kali ke Laut Mati, menjadikan kisah Kaum Nabi Luth ini sangat berbekas di hati kerana melihat sendiri di depan mata kesan azab yang ditimpakan kepada kaum terbabit. Kisah mereka ini dirakamkan di dalam al-Quran.
Masihkah kita ingat, enam tahun lalu negara digemparkan dengan kehilangan pelajar perubatan Malaysia di Ireland. Ahli keluarganya lebih lapan kali berulang alik pergi mencari Alif Alfian Rosli, namun gagal. Akhirnya punca segala kehilangan pelajar pintar ini terdedah apabila dikhabarkan beliau sudah berkahwin dengan seorang lelaki di Dublin. Bayangkan bagaimana perasaan ibu bapa pelajar ini yang terlalu risau akan kehilangan anak selama lapan tahun, tetapi digemparkan dengan berita yang menyayat hati ini.
Apakah faktor yang menyebabkan seseorang menjadi LGBT? Ada yang memberi alasan, ia adalah satu bentuk penyakit mental. Tetapi, ia disangkal ahli saraf, Dr Ryu Hasan bahawa LGBT bukanlah penyakit ataupun gangguan, jadi tidak perlu disembuhkan. Menurutnya, LGBT terbentuk kerana persekitaran hidup, trauma akibat pengalaman tertentu, lemahnya didikan agama dan juga genetik. Dengan bimbingan dan terapi dapat mengembalikan jati diri mereka yang sebenar.
Kutuk perbuatan keji
Bagaimana agama lain berinteraksi dengan isu ini? Agama Kristian juga mengutuk perbuatan keji ini dan perbuatan itu dikira berdosa menurut Injil. Perbuatan homoseksual, dilarang kitab itu kerana ia perbuatan yang dilaknat Tuhan. Ia disebutkan di dalam kitab Imamat 18:22; 20:13.
Proses normalisasi LGBT yang sedang berlaku di negara kita harus dibendung dari awal, sebelum ia lebih melarat dan sukar ditangani. Jangan tunggu sehingga nasi sudah menjadi bubur baru kita mahu bertindak. Di Indonesia, hasil kajian statistik mendapati pertumbuhan jumlah LGBT mengalami peningkatan sebanyak 37 peratus sejak 2009-2012.
Pemerintah harus memainkan peranan bagi menangani gejala ini dengan melakukan kempen kesedaran dan pendidikan sejak bangku sekolah lagi. Ibu bapa dan keluarga juga turut bertanggungjawab memantau aktiviti anak.
Sama-sama kita pelihara negara daripada malapetaka ini sebelum datangnya azab Allah SWT seperti tsunami yang pernah menimpa Aceh satu ketika dahulu. Ia juga bertepatan dengan kaedah syarak yang menuntut kita menutup pintu kejahatan, sekali gus menepati Maqasid Syarak itu sendiri.
Saya tidak menghukum golongan ini, tetapi mengajak kembali kepada fitrah kejadian Tuhan yang sempurna pada diri kita. Manusia sifatnya mudah lupa, saya hanya ingin kembalikan ingatan agar menyedari kesalahan yang dilakukan.
Saya menutup rencana ini dengan sepotong ayat al-Quran buat renungan bersama dari surah Al-Anfaal : 25, bermaksud: "Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang yang zalim sahaja antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya."
Zabidi Azhar - Tahun Akhir, Usuluddin, Universiti Al Al-Bayt, Jordan

No comments:

Post a Comment