Thursday, 19 July 2018

ISU UEC : PEMIMPIN PH JAHIL PERLEMBAGAAN ???


KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin kerajaan yang berusaha untuk mengiktiraf
Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) disifatkan sebagai jahil tentang Perlembagaan Malaysia.


Tokoh sejarah, Professor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, jika mereka memahami tentang Perlembagaan Malaysia sudah tentu usaha untuk mengiktiraf UEC tidak dilakukan.

Katanya, mana-mana pihak tidak perlu menggunakan alasan pengiktrafan UEC oleh negara-negara luar untuk ‘membawa’ ia dalam sistem Malaysia kerana ia amat bertentangan dengan Perlembagaan.

Apabila disebut bertentangan dengan Perlembagaan membawa maksud mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan adalah tidak sah.



“Kenalah menghormati Perlembagaan negara. Itu wajib. Kalau pemimpin tidak menghormati Perlembagaan mereka telah memberi isyarat yang salah kepada generasi muda. Jangan kita mengajar generasi muda, generasi masa depan tidak menghormati undang-undang negara.

“Fahami Perlembagaan, hayati Rukun Negara. Rukun Negara bukan sekadar jadi sebutan tetapi perlu disematkan di hati, di jiwa. Bila kita menghayati semua ini, jati diri, semangat cintakan Malaysia kuat dan tanggungjawab terhadap negara bangsa teguh.

“Bila semuanya kuat, tidak akan melakukan sesuatu yang merepek, yang boleh meruntuhkan apa yang dipertahankan selama ini. Kalau pemimpin tidak tahu menghormati undang-undang negara, memang susahlah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Khoo berkata, kerajaan jangan melihat penentangan pengiktirafan UEC sebagai satu bentuk prejudis kepada mana-mana kaum tetapi lihat ia sebagai satu penghormatan dalam mempertahankan sistem sebuah negara.

Sambil menyifatkan situasi yang berlaku ini sebagai ‘hasil’ terlalu mengutamakan subjek-subjek yang berkemahiran tinggi seperti sains dan matematik, Khoo mengakui beliau sedih apabila wujud segelintir pemimpin dan generasi muda yang tidak tahu tentang sejarah Malaysia.

Jelasnya, Malaysia yang dahulu dikenali sebagai Tanah Melayu adalah sebuah negara hebat.

Dalam negara-negara di bawah empayar Birtish, Tanah Melayu adalah tanah jajahannya yang paling kaya, mengatasi India dan Australia, lantaran itu negara ini sering menjadi perhatian dunia.

Malah, dalam sejarah juga tercatat Tanah Melayu pernah menjadi juara badminton dunia dalam tahun 1949.

Tanah Melayu juga pernah mengambil bahagian dalam sukan olimpik sebelum negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

“Tahun 2018 Croatia memasuki Piala Dunia, tapi di mana Malaysia sekarang? Tatkala negara lain berlumba-lumba mengejar kehebatan, kita masih berjuang tentang UEC, tentang bahasa, masih ada pula yang tidak memahami Perlembagaan,” katanya.

Jelas beliau, Singapura yang maju dalam aspek ekonomi, rakyatnya berjaya menguasai bahasa Inggeris dengan baik pun, kalau ditanya apa bahasa kebangsaan mereka, jawapan mereka tetap sama iaitu bahasa Melayu.

Itu jelas menunjukkan kemodenan dan status negara tidak boleh dijadikan alasan mengubah jati diri rakyat dan sistem sesebuah negara.

Ditanya apakah harapannya dalam isu UEC, Khoo berkata: “Pemimpin yang berada dalam kerajaan perlu sedar, mereka bukan individu yang dipilih untuk memberi arahan tetapi berkhidmat kepada rakyat dan negara".

“Zaman dahulu, gabenor-gabenor negara dalam surat rasmi mereka akan menggunakan perkataan “I am obedient servant’. Itulah sebenar kedudukan pemimpin dan penjawat awam.

“Anda berkhidmat kepada rakyat, jadi berkhidmatlah sebaik-baiknya dan bukan memberi arahan,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment