Friday, 13 July 2018

DAGING BABI HIDANGAN DI MEJA MEDIA ???


SIKAP tidak sensitif penganjur Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro Malaysia di Sekolah Pay Fong, Melaka, malam tadi menyebabkan beberapa wartawan beragama Islam dan Hindu hampir termakan daging khinzir sebaik menyedari hidangan itu diletakkan di atas meja.

Lebih mengecewakan, tiada seorang wakil daripada pihak penganjur memaklumkan jenis hidangan itu, sebelum wartawan beragama Islam yang hadir membuat liputan duduk semeja bersama wartawan bukan Islam.
Wartawan dari Utusan Malaysia, Fadzly Izab, 33, berkata dia sangat terkejut, malah menyifatkan penganjur tidak beradab apabila menghidangkan menu khinzir di mejanya ketika sedang membuat liputan.
“Saya sudah syak dari awal hidangan menu pada majlis itu tidak halal sehingga pelayan menghidangkan menu daging khinzir di atas meja wakil media.
“Jadi, ini bermakna semua hidangan yang dihidangkan sudah pasti diyakini tidak halal kerana disediakan oleh tukang masak dan dapur sama.
“Perkara ini sangat sensitif dan boleh mengundang kemarahan individu beragama Islam selain penganut agama lain,” katanya yang kesal dan terkilan perkara seperti itu boleh berlaku dalam majlis dihadiri tetamu pelbagai lapisan agama dan bangsa.
Sementara itu, wartawan beragama Hindu dari Tamil Nesan Daily, A Kaviarasan turut tidak bersetuju dengan tindakan penganjur menghidangkan menu berkenaan dan menganggap ia keterlaluan.
“Agama Hindu tidak membenarkan penganutnya makan khinzir. Saya kecewa kerana mereka langsung tidak sensitif mengenai perkara ini.
“Tetamu yang hadir bukannya dari satu bangsa saja, mereka (penganjur) perlu peka dengan semua perkara ini,” katanya.
Difahamkan, majlis terbabit dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin; wakil rakyat dan beberapa tetamu kehormat.
Sementara itu, Yang Dipertua Kelab Media Massa Melaka (KEMM), Samat Majid sudah memanjangkan isu berkenaan kepada pihak kerajaan negeri dan penganjur supaya membuat permohonan maaf secara terbuka bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
“Kami kesal perkara seperti ini boleh berlaku disebabkan sikap tidak sensitif penganjur terhadap kumpulan wartawan beragama Islam yang membuat liputan,” katanya.

No comments:

Post a Comment