Wednesday, 30 May 2018

KERAJAAN PH GAGAL TUNAI JANJI HAPUSKAN TOL



KENYATAAN MEDIA  : KERAJAAN PH GAGAL TUNAI JANJI HAPUS TOL

1. Harapan rakyat untuk menikmati janji Kerajaan Pakatan Harapan bagi menghapuskan semua tol lebuh raya di Semenanjung tidak kesampaian apabila Kerajaan PH hari ini mengumumkan hanya 50 peratus potongan kadar tol untuk tempoh dua hari sebelum Aidilfitri.




2.  Ini ternyata bercanggah dengan manifesto PH yang berjanji untuk menghapuskan tol secara di seluruh negara demi meringankan beban rakyat. 

3.  Pastinya harapan berjuta-juta pengguna lebuh raya yang akan pulang ke kampung halaman untuk berhari raya bukan saja hampa kerana tidak dapat tol percuma, malah masih perlu keluar duit belanja untuk bayaran tol.  Ia pasti membebankan mereka khususnya yang berpendapatan rendah dan menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jauh. 

4. Pengumuman hari ini menyerlahkan Kerajaan PH mungkin telah menyedari realiti bahawa penghapusan tol tidak realistik dan sukar dilaksanakan.  Sekaligus menunjukkan janji manifesto itu hanya sebagai janji atau 'gula-gula' politik bagi meraih undi. 

5. Menurut agensi penarafan RAM Ratings, penghapusan semua tol lebuh raya akan membabitkan bon dan sukuk berjumlah RM53 bilion. Ini bermakna ia adalah kerugian besar kepada pemegang konsesi dan kerajaan bagi tempoh yang singkat.

6.   Oleh itu, bagaimana kerajaan mampu menanggung perbelanjaan bagi melunaskan hutang dengan syarikat konsesi ini, yang ada antaranya baru memulakan kutipan bagi membiayai kos pembinaan lebuh raya mereka?

7. Apakah masa depan pembinaan lebuh raya lain, misalnya Lebuh Raya bertingkat Ulu Klang-Sungai Besi (SUKE Highway) kendalian firma Prolintas mampu diteruskan tanpa kutipan tol? Projek berharga RM48 bilion itu memerlukan suntikan modal yang besar untuk pembinaannya. Apakah kerajaan sanggup menanggung kosnya, dan bagaimana?

8. Sebenarnya rakyat sudah menerima cara sistem bertol ini sejak PLUS mengutipnya pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-4. 

9. Seperti di negara lain, sebahagian besar rakyat Malaysia memahami tujuan kutipan tol oleh syarikat konsesinya. Biarpun jalan raya alternatif masih ada, mereka selesa menggunakan lebuh raya bertol untuk ke destinasi, serta faham ia dibina untuk kemudahan mereka.

10.  Mereka juga faham kos yang tinggi untuk membinanya di sesetengah tempat, masalah pengambilan alih tanah serta pampasan.

11.  Oleh itu, kerajaan tidak wajar menggula-gulakan rakyat dengan janji penghapusan tol semata-mata untuk meraih undi. Apa jua janji kepada rakyat, mestilah ditunaikan sebaik mungkin, tanpa alasan dan helah politik.

12.  Susulan pengurangan hanya 50 peratus dan dua hari saja menjelang Aidilfitri,  rakyat kini tertanya-tanya adakah Kerajaan PH mampu mengotakan janji manifesto PRU14. Jika Kerajaan PH sanggup menjadikan isu 1MDB sebagai agenda politik, maka rakyat pula sanggup menggunakan isu tol sebagai tuntutan janji manis mereka.

13.  Mungkin PH kini tercari-cari jawapan sebenar dari segi implikasi kewangan kepada kerajaan dan pemegang konsensi tol sekiranya tol dihapuskan.  Tambahan pula,  dalam keadaan pasaran saham yang merundum, penurunan berterusan ringgit dan penarikan keluar modal asing, pastinya merungsingkan kerajaan sekarang. 

14. Ini bukan salah rakyat. Carilah ubat kepada strategi 'membuka pekung di dada ini' kerana ia ternyata membuat pelabur luar berfikir banyak kali untuk menanam modal di negara yang pentadbirannya masih caca merba atau 'failed state' ini.

Unit Komunikasi Strategik
Ibu Pejabat UMNO
Kuala Lumpur
30 Mei 2018

No comments:

Post a Comment