Wednesday, 11 April 2018

LHDN : DATO VIDA DITUNTUT BAYAR RM4.69 JUTA


Seorang usahawan dan pengasas produk kecantikan dan kesihatan terkenal telah dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Mahkamah Tinggi di Ipoh, Perak telah mengarahkan pengasas syarikat produk kecantikan dan kesihatan, Vida Beauty Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida untuk menyelesaikan bayaran cukai pendapatan individu bagi tempoh lima tahun yang dituntut Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) berjumlah lebih RM4.6 juta sebelum 21 Mei ini.
Pesuruhjaya Kehakiman, Anselm Charles Fernandis telah mengarahkan penyelesaian di luar mahkamah selepas tuntutan itu difailkan oleh peguam LHDNM, Nor Hidayah Mohd. Anas di dalam kamar hakim.
Namun begitu, Dr. Vida bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah dan diwakili peguamnya, Zailan Mohamed.
Melalui penyataan tuntutan yang dibuat oleh LHDNM itu, Datuk Dr. Vida dikehendaki membayar kepada LHDN mengikut Subseksyen 91(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2011 hingga 2015 berjumlah RM4.69 juta.
Pihak LHDNM telah ditemui di luar mahkamah dan berkata pihak LHDNM telah pun mengadakan perbincangan dengan Dr. Vida namun beliau gagal mematuhi perbincangan berkenaan menyebabkan tuntutan tersebut dijalankan di mahkamah.
Menurutnya lagi, kes tuntutan itu akan diteruskan pada 21 Mei ini sekiranya pihak Dr. Vida gagal mengadakan perbincangan dan menyelesaikan tuntutan cukai pendapatan individu itu dalam tempoh ditetapkan.
Begitu juga di pihak Dr Vida, Zailan selaku peguamnya berkata, perbincangan akan diadakan dengan LHDNM bagi mengadakan pengstrukturan semula bayaran tuntutan berkenaan dan akan menyelesaikan tuntutan itu dalam tempoh ditetapkan.

No comments:

Post a Comment