Wednesday, 22 February 2017

KADS1M - CAJ RM5 UNTUK SATU KAD, BANK RAKYAT KAUT UNTUNG RM6 JUTA SETAHUN ???


KAD Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M Debit) yang diperkenalkan kerajaan mulai tahun ini mencetus pertikaian dalam kalangan pelajar universiti.


Mulai 16 Februari lalu, semua pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) wajib memohon secara online untuk mendapatkan KADS1M bagi menggantikan baucar buku 1Malaysia. 

Kad debit pelajar ini  berjumlah RM250 hanya boleh digunakan untuk membeli bahan ilmiah sahaja di kedai buku yang terpilih.

Bagaimana pun, kalangan pelajar mempertikaikan bayaran tahunan sebanyak RM5 dikenakan oleh Bank Rakyat, bank yang mengendalikan kad debit pelajar ini, terhadap setiap pemohon. 

Dengan 1.2 juta pelajar IPT yang memohon kad debit berkenaan, Bank Rakyat dipercayai akan memperoleh hasil bayaran RM6 juta setahun.

"Ini belum termasuk lagi baki minimum RM10 yang wajib disimpan dalam akaun masing-masing, sekali gus membolehkan Bank Rakyat mempunyai aliran wang tunai sebanyak RM12 juta. 

"Apabila ditambahkan dengan bayaran permohonan sebanyak RM6 juta, Bank Rakyat sekurang-kurangnya sudah memperoleh RM18 juta setahun. 

"Kesemua wang ini adalah daripada pelajar IPT, " kata seorang ketua hal ehwal pelajar dari sebuah IPTS kepada China Press.

Difahamkan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Bank Rakyat telah mengadakan taklimat kepada lebih kurang 100 wakil-wakil daripada IPTA dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) mengenai proses permohonan KADS1M ini, pada Khamis lalu di Kuala Lumpur.

Mengikut syarat yang ditetapkan, nilai kad debit itu berjumlah RM250 dan setiap pemohon diwajibkan mempunyai baki minimum RM10 dalam simpanan. 

"Berdasarkan pengiraan ini, sebenarnya setiap pelajar  hanya diberikan RM235 setelah ditolak dengan bayaran permohonan kad sebanyak RM5 dan baki simpanan RM10," katanya.

Dalam pada itu, wakil Bank Rakyat menafikan pihaknya meraih keuntungan daripada proses permohonan KADS1M Debit ini kerana mengikut peraturan bank, yuran tahunan bagi permohonan kad debit terhadap setiap penyimpannya sebanyak RM8.

"Bagi mengeluarkan kad debit pelajar ini, bank perlu kenakan bayaran. Namun memikirkan kedudukan kewangan pelajar, bank hanya mengenakan bayaran sebanyak RM5 sahaja. 

"Selepas tamat pengajian, pelajar itu masih boleh menggunakan kad debitnya itu, tetapi yuran tahunannya akan dinaikkan kepada RM8," katanya.

No comments:

Post a Comment