Monday, 6 February 2017

HARGA 10 SEN SEBUAH KERETA TERPAKAI YANG SANGAT SIMBOLIK


JIKA disebut namanya mungkin tidak ramai yang mengenalinya sebelum ini.
Namun bagi tuan punya tubuh, J Senthil Kumar,34, namanya tiba-tiba menjadi bahan bualan dan tular selepas mengambil keputusan membantu seorang ibu tunggal dengan menjual kereta Proton Iswara miliknya dengan harga 10 sen.

Tindakannya itu menjadikan dia  individu pertama di negara ini yang menjual kereta dengan harga paling murah dan tidak masuk akal.
Keputusannya itu juga kemudian menjadi tular di laman sosial menerima 1,200 perkongsian, 8,700 tanda ‘like’ dan 559 komen.
Yang dibanggakan lelaki berketurunan India itu tidak kisah dan sanggup membantu golongan susah meskipun berlainan bangsa dan juga agama.
Senthil berkata, segala-galanya bermula apabila dia mengambil keputusan menjual kereta digunakan sejak 14 tahun lalu setelah membeli kereta baru pada 2015.
Katanya, dia kemudian ke pusat jualan kereta terpakai dan bertanyakan harga diperoleh jika bersetuju ‘menolak’ kenderaan tersebut.
“Saya tak jadi jual bila pengusaha kenderaan terpakai begitahu kereta tu boleh dijual dengan harga RM2,000 saja. Sebenarnya saya tak sampai hati nak jual kereta ini kerana dah banyak berjasa sejak saya menuntut di kolej lagi.
“Jadi saya fikir baik bagi kereta tu secara percuma kepada sesiapa yang memerlukannya,” katanya rakannya yang mencadangkan kereta itu diserah kepada seorang aktivis sosial sebelum diberikan kepada mereka yang memerlukan.
 Mulanya tak kenal penerima
Penganalisis saham itu berkata, dia tergerak memberikan sumbangan kepada  keluarga ibu tunggal di Taman Pingggiran Subang di sini selepas mengetahui latar belakang keluarga wanita itu daripada aktivis sosial, Kuan Chee Heng (Mr Kuan).
Katanya, dia pada mulanya langsung tidak mengenali penerima kereta Proton Iswara miliknya namun dia tidak pernah kisah siapakah penerima asalkan betul-betul memerlukan kemudahan itu.
Hanya selepas dipertemukan barulah dia tahu penerima itu tinggal bersama lima anaknya di sebuah pangsapuri kos rendah selepas kematian suami kira-kira enam tahun lalu.
“Meskipun dia orang Melayu tapi saya tak kisah bantu sebab mereka memerlukan. Saya hanya tahu seorang ibu tunggal terima kereta tu bila lihat di akaun laman sosial Mr Kuan.
“Sebelum serah kereta saya hantar ia untuk diservis dan tukar bateri baru kerana tak mahu susahkan penerima.
“Bagi saya kalau niat nak tolong tak perlu tengok bangsa dan agama orang lain…pertolongan diberi dari seorang manusia kepada manusia lain,” katanya dia pada mulanya mahu menyumbang kereta secara percuma namun setuju menjual kereta tersebut dengan harga 10 sen hanya sebagai harga simbolik sumbangan.
Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, dia masih menyimpan syiling 10 sen diterima sebagai kenangan dalam hidup dan gembira keluarganya menyokong tindakannya.
Sementara itu, penerima keretanya, Rohaya Md Isa, 46, berkata, dia berasa sebak dan terharu apabila mendapat tahu ada individu yang ingin menyumbangkan sebuah kereta buat keluarganya.
Meski terpakai, kenderaan itu selesa digunakannya sekeluarga untuk menghantar anak-anak ke sekolah selain ke hospital untuk mendapat rawatan susulan atas penyakit kanser dihidapinya.
“Sebelum ni nak ke mana-mana kami naik motosikal, berhujan dan berpanas… sekarang ada kereta mudahlah sikit.
“Saya tak pernah kenal siapa penyumbang kereta, ni baru tahu dia berlainan bangsa…baik sungguh hati dia bantu keluarga kami…terima kasih sangat,” katanya.
 Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment