Tuesday, 8 March 2016

KANAK-KANAK LELAKI SEMPAT TANYA IBU KEADAAN KUBUR MEREKA YANG BERIMAN SEBELUM DITEMUI LEMAS BERSAMA RAKAN


TAMPIN: "Kebetulan saya lalu di kawasan berhampiran Sungai Peringkat 3 dan nampak ramai orang di situ dan tak sangka anak saya sendiri yang lemas," kata Rosnah Mat Noor, 45. 


Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang tadi, dua sahabat karib, Muhammad Ashmik Zafir Md Zaid dan Mohammad Firwan Rahdi, masing-masing 11 tahun lemas ketika mandi di sungai yang terletak dua kilometer dari rumah mereka di FELDA Sungai Kelamah. 

Rosnah berkata, dia yang terkejut apabila diberitahu bahawa seorang daripada mangsa yang lemas adalah anaknya bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba dia melihat anak bongsu daripada tiga beradik itu terbaring kaku selepas ditemui oleh penduduk kampung. 

"Saya hanya mampu menangis dan memeluk tubuh kaku 'baby' (nama panggilan anaknya) dan segera menghalalkan susu ibu yang pernah saya berikan selama ini serta berharap dapat berjumpanya di alam akhirat nanti," katanya ketika ditemui di Hospital Tampin di sini, malam ini. Sementara itu, ibu Mohammad Firwan, 

Mazlinda Mokhtar, 45, berkata dia sempat memberitahu anaknya supaya tidak keluar rumah selepas pulang dari sekolah kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi kerana cuaca panas. Namun, katanya, tidak lama kemudian seorang rakan mengajaknya keluar dan dia memberitahu mahu keluar sekejap sahaja. 

"Tetapi sebaik selesai solat, saya lihat anak sudah tiada dan saya syak dia hanya bermain basikal di sekitar kawasan rumah. 

"Tiba-tiba seorang rakannya datang ke rumah memberitahu 'adik '(nama panggilan) tenggelam dalam sungai. Ketika itu saya hanya mampu menangis sahaja," katanya. 

Suri rumah itu berkata, sebelum keluar rumah, anak bongsunya ada bertanya mengenai keadaan kubur mereka yang beriman. "Saya beritahu adik kalau kita rajin solat, kubur akan wangi dan bercahaya. Tak sangka itu adalah tanda dia akan meninggalkan kami sekeluarga," katanya. 

Dua sahabat itu akan dikebumikan jam 11 malam ini di Tanah Perkuburan FELDA Sungai Kelamah. Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheng, berkata ketika kejadian terdapat tiga kanak-kanak di situ. 

Bagaimanapun, katanya, seorang daripada mereka hanya bermain di kawasan sekitar tebing sungai. "Kejadian itu kemudian disedari kanak-kanak yang berada di tebing sungai lalu memberitahu penduduk kampung," katanya

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/131956

No comments:

Post a Comment