Thursday, 24 March 2016

BEKAS PERDANA MENTERI HERET PERDANA MENTERI KE MAHKAMAH



Mantan Perdana Menteri dan negarawan ulung negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengheret Perdana Menteri Najib Razak ke muka pengadilan atas skandal-skandal salah laku dan amalan korupnya berhubung 1MDB, dana berjumlah RM2.6 bilion, serta RM42 juta yang masuk ke akaun-akaun peribadi Najib Razak. 


Writ Saman tersebut difailkan oleh Tun Dr. M bersama-sama dengan Dato’ Seri Khairuddin Abu Hassan dan Anina binti Saadudin sebagai Plaintif bersama. Najib Razak dinamakan sebagai Defendan dalam kapasiti peribadinya. 

Tindakan guaman ini adalah berhubung dengan salah laku tort misfeasans dan kemungkiran fidusiari dalam jawatan awam — iaitu kausa tindakan dalam perundangan sivil bagi mendapatkan seseorang penjawat awam yang telah menyalah-gunakan kuasa serta kedudukannya, supaya mengambil dan menggalas tanggung jawab atas segala salah-laku yang timbul. 

Dalam Writ Saman dan Penyata Tuntutan yang difailkan pagi ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ketiga-tiga Plaintif menegaskan bahawa melalui amalan korup, Najib Razak telah secara aktif, berniat jahat dan mala fide menghalang, mencampuri, menindas dan menyalah pintas pelbagai siasatan dan inkuiri yang telah dikelolakan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang dan badan-badan berkanun berhubung dengan alegasi skandal-skandal tersebut. 

Ini termasuklah pelumpuhan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), pemecatan tiba-tiba Tan Sri Gani Patail sebagai Peguam Negara hanya 69 hari sebelum persaraannya dijadualkan, perlantikan meragukan Apandi Ali sebagai Peguam Negara (yang kemudiannya telah membebaskan Najib Razak dari sebarang salah laku), serta kacau-ganggu, tangkapan, serbuan dan rampasan terhadap pegawai penyiasat dan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Untuk segala salah laku jenayah tersebut, selain memohon pengisytiharan terhadap salah laku tort misfeasans dan kemungkiran fudisiari, Tun Dr. M, Khairuddin dan Anina turut menuntut agar Najib Razak membayar ganti rugi tauladan dalam jumlah RM2.6 bilion dan ganti rugi berpanjangan dalam jumlah RM42 juta (atau mana-mana jumlah yang ditaksirkan oleh Mahkamah) kepada Kerajaan Malaysia.

SEMENTARA itu.. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Tun Dr Mahathir tidak memiliki locus standi atau hak berundangan untuk memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Tun Abd Razak berhubung kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion.

Beliau juga berkata, kes itu tidak memiliki kaitan secara langsung kepadanya sama ada sebagai bekas Perdana Menteri atau rakyat biasa. Malah tindakan Dr. Mahathir menuntut ganti rugi teladan berjumlah RM2.6 bilion dan ganti rugi berpanjangan berjumlah RM42 juta hanyalah gimik politik untuk mendapatkan publisiti.

No comments:

Post a Comment