Tuesday, 29 March 2016

ATLET PARALIMPIK NEGARA SELUDUP KELUAR TEMAN WANITA WARGA THAI GUNA COP LAWATAN PALSU

Wanita Thailand yang cuba diseludup ke negara ini oleh atlet paralimpik badminton negara. FOTO ihsan Jabatan Imigresen Malaysia Kedah


Bukit Kayu Hitam: Atlet paralimpik badminton negara ditahan anggota Jabatan Imigresen Malaysia Kedah ketika melalui pemeriksaan imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (KIK) Bukit Kayu Hitam, semalam selepas cuba seludup wanita warga Thailand, kelmarin.


Lelaki berusia 28 tahun itu cuba menyeludup keluar wanita warga Thailand berusia 25 tahun dipercayai teman wanitanya selepas dikesan memiliki cop pas lawatan sosial palsu dalam dokumen perjalanan miliknya.

Timbalan Pengarah Imigresen negeri Abdul Rahim Hanaffi berkata, dalam pemeriksaan pada 6.30 petang itu, lelaki terbabit yang menaiki kereta jenis Mercedes Benz dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Thailand memecut untuk meloloskan diri walaupun diarahkan ke pejabat penyelia untuk pemeriksaan lanjut sebelum ditahan 500 meter dari KIK.

"Lelaki ini mendakwa mendapatkan cop keselamatan palsu itu daripada seorang ejen tempatan di Kuala Lumpur pada harga RM500 bagi mengelak teman wanitanya diberkas kerana menetap lebih masa dalam negara," katanya.

Abdul Rahim berkata, atlet terbabit disiasat mengikut Seksyen 56(1)(g) Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan imigran haram berada dalam kenderaan dan Seksyen 55E(1) akta sama kerana menghalang tugas anggota penguat kuasa termasuk ingkar arahan.

"Lelaki itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis, manakala teman wanitanya ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 56(1)(l) akta sama kerana memiliki cop pas lawatan sosial palsu.

"Kereta lelaki terbabit turut disita mengikut Seksyen 49A Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Katanya, wanita itu dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

- Harian Metro


No comments:

Post a Comment