DENPASAR – Lapangan terbang antarabangsa Ngurah Rai di Bali terpaksa ditutup kepada semua penerbangan pada Rabu susulan letusan anak gunung berapi Rinjani di Lombok wilayah Nusa Tenggara Barat sejak Selasa.
Ia sekali gus mengakibatkan 692 penerbangan dibatalkan dan perkara itu disahkan ketua pihak berkuasa Ngurah Rai, Yusfandri Gona, di Badung di sini ekoran tahap letusan mencecah jarak ketinggian sehingga 3.5 kilometer.
“Jumlah ini sudah meliputi ratusan laluan internasional dan domestik,” katanya serta menjelaskan penerbangan yang dibatalkan itu terdiri daripada pendaratan 183 penerbangan tempatan dan 157 penerbangan antarabangsa.
Sementara itu ujar Yusfandri yang dipetik oleh akhbar berpengaruh Kompas, jumlah pembatalan perlepasan untuk penerbangan domestik di Ngurah Rai ialah 189, manakala 163 lagi untuk perlepasan internasional.
PT Angkasa Pura 1 Denpasar, syarikat pengurusan lapangan terbang milik pemerintah Indonesia pada kelaziman menguruskan secara purata lebih 400 penerbangan sehari di Bali melibatkan hampir 200 syarikat penerbangan.
Pihak lapangan terbang pulau peranginan popular itu memberikan kemudahan pengangkutan secara percuma ke terminal Ubung atau memberikan petunjuk panduan untuk menyewa kenderaan menuju ke Surabaya dari Bali.
Ribuan penumpang yang terkandas dilaporkan mengambil keputusan untuk melalui cara darat menuju ke bandar-bandar utama di wilayah Jawa, khususnya ke Surabaya yang terletak sejauh 422 kilometer menerusi jalan pantai.
Surabaya menjadi destinasi paling dekat kerana lapangan terbang antarabangsa Juanda tidak ditutup dan masih lagi dapat digunakan oleh para penumpang dari Bali untuk meneruskan perjalanan udara dengan pesawat lain.
Ngurah Rai ditutup sejak Selasa dan kemungkinan dilanjutkan lagi sehingga Khamis ini susulan letusan tersebut menyelubungi Selat Lombok selain Bali dan lapangan terbang jirannya, Blimbingsari di bandar Banyuwangi.
Dianggarkan lebih 6,000 penumpang terlibat dengan pembatalan penerbangan di Ngurah Rai dan ini turut menjejaskan jadual penerbangan di Soekarno-Hatta, Jakarta apabila pesawat keluar masuk Bali dilarang terbang.
Sebelum ini, Ngurah Rai dan lapangan terbang berjiran, Selaparan di Lombok, Pulau Mataram pernah ditutup akibat perkara yang sama iaitu letusan gunung berapi Raung di wilayah Jawa Timur pada awal Julai lalu. – Agensi
No comments:
Post a Comment