ALOR SETAR - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan Malaysia tidak akan memihak kepada perjanjian yang tidak mengikut Perlembagaan negara atau yang menjejaskan dasar-dasar teras kerajaan untuk manfaat rakyat.
Malah beliau berkata, butiran fleksibel diberikan kepada Malaysia termasuk tempoh peralihan lebih panjang dan layanan berbeza bagi perkara yang sensitif kepada negara.
Katanya, hasil rundingan tersebut apabila sudah siap disedakan bakal dibentang kepada pengetahuan umum dan dibawa ke parlimen untuk diperbincangkan sebelum sebarang keputusan dicapai, sama ada untuk tidak menandatangani perjanjian itu atau sebaliknya.
"Saya ingin mengulangi sama ada Malaysia menjadi pihak atau sebaliknya kepada TPPA akan menjadi keputusan secara kolektif (bersama).
"Sebaik sahaja teks rasmi perjanjian siap dan disediakan, ia akan dibawa kepada pengetahuan umum dan dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan.
"Kita juga akan mengadakan perundingan penuh dengan pihak-pihak berkepentingan dan orang awam," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur yang dipetik dari Bernama, semalam.
Mustapa mewakili Malaysia pada rundingan TPPA dengan 11 pihak lain iaitu Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.
Perundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dirumuskan baru-baru ini bersetuju untuk mempertimbang hampir kesemua kebimbangan dan sensitiviti yang dibangkitkan Malaysia seperti isu pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan bumiputera.
Sepanjang rundingan, mulai 30 September hingga 1 Oktober, Mustapa sentiasa berkomunikasi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi memaklumkan perkembangan terkini mengenai kemajuan rundingan, serta mendapatkan panduan dan mandat melindungi kepentingan Malaysia.
Mengenai isu hak harta intelek, beliau berkata Malaysia tetap bertegas TPPA tidak seharusnya menghalang akses orang ramai kepada ubat-ubatan dan penjagaan kesihatan yang mampu milik dan pada masa yang sama, memastikan insentif untuk pencipta farmaseutikal menghasilkan ubat-ubatan baharu.
Berhubung akses pasaran, elemen asas dalam mana-mana perjanjian perdagangan bebas (FTA), Malaysia merumuskan rundingan dengan semua pihak, dengan duti import bagi hampir semua produk akan dihapuskan.
"Pada dasarnya, hasilnya akan menyediakan peluang akses pasaran yang lebih besar bagi syarikat-syarikat Malaysia, terutamanya di pasaran seperti Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru yang mana Malaysia tidak mempunyai FTA.
"Pengeksport Malaysia akan mendapat kelebihan daya saing berbanding pesaing serantau dalam mengeksport produk dari sektor elektrik dan elektronik, bahan kimia, barangan minyak sawit, keluaran getah, barangan kayu, tekstil dan juga bahagian serta komponen automotif.
"Semua ini merupakan eksport utama bagi Malaysia dan menjana sejumlah besar pendapatan ekonomi negara serta mengambil ribuan rakyat Malaysia sebagai pekerja," katanya lagi.
Menurut sumber lagi, Mustapa juga memberitahu antara kelebihan TPPA yang akan membolehkan Malaysia mempromosikan lagi agenda perdagangan dan pelaburan serta membantu mengurangkan cabaran ekonomi global. – Bernama
No comments:
Post a Comment