Sunday, 27 September 2015

REMAJA LELAKI MAUT DIPANAH PETIR, 3 RAKAN CEDERA

Kandang kambing tempat kejadian yang meragut nyawa Zamanqusyairi.

KUALA NERUS  :  Seorang remaja maut, manakala tiga lagi cedera akibat terkena panahan petir ketika membuat perangkap ikan di sebuah bangsal kambing di Kampung Pak Katak, Bukit Tunggal, di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, menyebabkan Zamanqusyairi Ismail, 15, yang juga pelajar tingkatan tiga SMK Bukit Tunggal meninggal dunia di tempat kejadian.
Tiga mangsa lain yang juga sepupu kepada Zamanqusyairi, Mohd Syawal Imran Zakaria, 14, cedera di kaki, Khairi Fatullah Mohd Zaid, 20, cedera di kepala dan kabur penglihatan, manakala Shamsul Rani, 32, hanya cedera ringan.
Menurut Shamsul, keempat-empat mereka pergi ke kandang kambing milik bapa Zamanqusyairi untuk membuat perangkap ikan sebelum hujan lebat dan ribut petir berlaku secara tiba-tiba.
Sekitar jam 3.45 petang, hujan mulai lebat dan kami masih meneruskan kerja-kerja membuat perangkap ikan sehinggalah Zamanqusyairi keluar untuk basuh tangan guna air hujan yang turun dari bumbung kandang berkenaan.
Secara tiba-tiba petir menyambar dan saya terjatuh dari tempat duduk, kami semua tak sedarkan diri untuk beberapa minit, katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Jelas Shamsul lagi, sebaik sedarkan diri, mereka menemui Zamanqusyairi terbaring di atas lantai dan tidak bergerak.
Kami pada awalnya sangka dia hanya tak sedarkan diri, tapi telah pelbagai cara dilakukan untuk menyedarkan dia tak menjadi.
Kami kemudian segera memaklumkan kepada bapa mangsa dan hubungi pasukan perubatan, katanya.
Bagaimanapun, Zamanqusyairi disahkan meninggal dunia dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Pak Katak selepas Isyak malam kelmarin.
Sementara itu, ibu Zamanqusyairi, Azizah Daud, 38, reda dengan pemergian anak tersayang ketika orang lain masih lagi di dalam suasana menyambut Hari Raya Aidiladha.Sinar Harian Oline

No comments:

Post a Comment