Sunday, 27 September 2015

GERHANA BULAN PENUH DI KOTA SUCI MAKKAH

JEDDAH – Jemaah haji dari serata dunia yang berada di Arab Saudi dapat menyaksikan gerhana bulan penuh Isnin ini, iaitu fenomena yang jarang-jarang berlaku di negara yang menempatkan kota Makkah dan Madinah itu.

Persatuan Astronomi Jeddah dipetik portal ArabNews sebagai menyatakan, penduduk di Arab Saudi dijangka mampu menyaksikan gerhana bulan penuh sebelum waktu syuruk atau terbit matahari pada pagi Isnin nanti.
Fenomena alam semesta yang cukup nadir itu juga dapat dilihat dengan jelas di seluruh rantau Timur Tengah selain benua Amerika Utara dan Selatan, Eropah dan Afrika, lapor pelbagai media massa tempatan pada Ahad.
Beberapa ulama menegaskan kejadian ciptaan Allah SWT itu tiada kaitan dengan peristiwa berdarah tragedi kren tumbang di Masjil Haram dan rempuhan jemaah di Mina baru-baru ini yang menyaksikan ratusan mati syahid.
Menurut laporan itu lagi, Presiden Persatuan Astronomi, Majid Abu Zahirah yang juga seorang jurutera berkata, gerhana bulan penuh berbeza daripada yang lain pernah dilihat oleh warga Arab Saudi sejak 30 tahun yang lalu.
Ujar beliau, ini adalah gerhana bulan yang jarang berlaku malahan hanya muncul sebanyak empat kali sahaja dalam abad ke-20. Ia pernah direkodkan berlaku pada 1910, 1928, 1964 dan kali yang terakhir pada tahun 1982.
Majid bahkan menjelaskan: “Garis pusat ukur lilit pada bulan itu akan menjadi 13 peratus lebih besar berbanding saiz gerhana bulan separuh yang pernah berlaku ketika April lalu.
Tidak seperti kejadian gerhana matahari, seseorang tidak akan ada masalah untuk mencerap fenomena gerhana bulan itu secara langsung dengan penglihatan mata kasar atau pun hanya menggunakan teropong biasa.
Di Arab Saudi, pelbagai peringkat gerhana bulan tidak dapat dilihat. Kami hanya dapat melihat separuh pertama gerhana dan kemudian ia akan beransur-ansur mencapai gerhana penuh,” katanya kepada ArabNews lagi.
Masa bagi peringkat gerhana bulan di Arab Saudi adalah sama. Sebahagian akan bermula pada pukul 4.07 pagi (9.07 pagi waktu Malaysia) dengan permulaan kemasukan sebelah kanan atas bulan ke bayang-bayang bumi.
Proses alamiah tersebut tambah Majid, akan berterusan lebih daripada sejam. Manakala sekitar masa subuh pada pukul 5.47 pagi (10.47 pagi waktu Malaysia) pula fenomena gerhana bulan penuh akan terjadi secara sepenuhnya.
Ini akan dapat dilihat hanya di bahagian barat Arab Saudi termasuk meliputi tanah suci Makkah dan Madinah, tetapi tidak akan dapat dilihat di kawasan timur dan tengah negara berkenaan,” kata beliau.
Bulan akan muncul paling besar dapat dilihat mata manusia apabila ia berada dalam kedudukan paling dekat dengan bumi untuk tahun ini pada pukul 5.50 pagi (10.50 pagi waktu Malaysia). – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

Post a Comment