Tuesday, 28 July 2015

ROMBAKAN KABINET : PM SINGKIR TS MUHYIDDIN ???


Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan rombakan Kabinet dalam minggu ini yang pertama sejak dibentuk pada 2013.


Melalui rombakan tersebut 5 daripada 35 menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan digugurkan.

Memetik sumber portal The Malaysia Insider, selain Muhyiddin, 2 lagi menteri yang akan digugurkan ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.

Naib Presiden UMNO paling popular dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bakal dilantik menjadi timbalan perdana menteri yang baharu manakala Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan akan dijadikan menteri penuh.

Menurut sumber tersebut Zahid dikatakan akan terus menerajui portfolio menteri dalam negeri.

Dua lagi menteri dijangka digugurkan daripada Kabinet Najib adalah Datuk Seri G Palanivel, yang baharu digugurkan sebagai presiden dan ahli MIC, serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Idris Jala.

Rombakan Kabinet itu juga akan mengambil kira kemelut kepemimpinan MIC melibatkan Palanivel yang kini memegang potfolio Menteri Sumber Hijau dan Alam Sekitar.

Kerusi menteri untuk kuota MIC itu berkemungkinan dikosongkan buat sementara waktu sehingga pemilihan semula MIC, September ini.

Idris yang mengetuai Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) kini berada dalam penggal keduanya sebagai senator.

“Rombakan Kabinet akan dilakukan minggu ini dan perdana menteri mengubahsuai senarai menteri untuk Yang di-Pertuan Agong pertimbangkan,” kata sumber portal tersebut.

“Senarai Kabinet akan dipersembahkan kepada Agong pada Rabu,” kata sumber itu dan Najib dikatakan akan turut mengadakan perundingan dengan anggota kanan UMNO bermula awal minggu ini.

Sementara itu portal pro-UMNO, myKMU melaporkan rombakan tersebut bakal diadakan pada hari ini beberapa hari lebih awal dari perancangan sebelum ini.

Menurut sumber portal tersebut, Najib telah pun mengadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada petang semalam bagi mempersembahkan senarai rombakan Kabinet itu.

Difahamkan, seorang lagi pemimpin dari Sabah akan dilantik menganggotai Kabinet, bagaima­napun potfolio beliau masih belum dapat dipastikan.

Portal tersebut meramalkan rombakan pada kali ini akan turut memberi fokus kepada peranan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Kedudukan Khairy menjadi tumpuan kerana selain gagal memberi nafas menarik sokongan belia kepada parti pemerintah, Pemuda UMNO juga dilihat tidak membantu menyatukan parti. Malah kegagalan Pemuda menunjukkan sokongan padu kepada Perdana Menteri merupaka satu alasan kuat untuk perubahan ini.

Namun peluang untuk Khairy digugurkan dari kabinet agak tipis berdasarkan kedudukan beliau dan pengaruh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Khairy dijangka berpindah daripada Kementerian Belia dan Sukan kepada Kementerian Sumber Manusia atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang dilihat bintang baru dalam kabinet Najib dijangka akan menerajui Kementerian Penerangan.

Ia dikatakan selari dengan jawatan baharu beliau sebagai Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional sekaligus memberi peluang kepada Rahman untuk menggembeleng semua jentera penerangan kerajaan dan parti bagi menjelaskan isu-isu semasa.

Manakala Menteri Penerangan ketika ini Datuk Ahmad Shaberry Cheek dijangka akan kembali ke Kementerian Belia dan Sukan bagi menarik semula sokongan belia kepada Barisan Nasional dan mengawasi persiapan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan Sea 2017.

Menurut portal tersebut Datuk Ahmad Maslan dijangka dilantik sebagai Menteri penuh di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Antara nama lain yang dijangka naik pangkat dari Timbalan Menteri kepada Menteri ialah Datuk Razali Ibrahim, Datuk Jailani Johari dan . Beberapa Ahli Parlimen muda dijangka dilantik sebagai Timbalan Menteri ialah Ahli Parlimen Sekinjang, Anuar Manap, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim dan Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati Samsudin, dan Ahli Parlimen Kepala batas Datuk Seri Reezal Merican.

Manakala akhbar China Press sebelum ini melaporkan, rombakan itu dilihat amat penting kerana dijangka merupakan barisan Kabinet terakhir sebelum ketibaan pilihan raya umum.

Rombakan tersebut dijangka diadakan sebelum pengumuman Bajet 2016 pada 23 Oktober untuk memudahkan menteri-menteri baharu melaksanakan tugas-tugas berkaitan.

Akhbar itu sebelum ini melaporkan, antara tujuh hingga lapan Menteri dijangka akan digantikan selain Shafie Apdal, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Memetik sumber akhbar tersebut, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dari Sabah akan diberi peranan penting untuk menenangkan keadaan di negeri itu selepas Shafie digugurkan daripada Kabinet.

Najib sendiri dijangka mengambil alih jawatan Menteri Dalam Negeri sementara jawatan Menteri Kewangan akan digantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun sumber yang rapat dengan Perdana Menteri semasa dihubungi SuaraTV bagi mengulas khabar angin rombakan Kabinet menjelaskan; “Spekulasi tetap spekulasi, akhirnya Perdana Menteri yang akan membuat penentuan,”.

Pada 12 Julai lalu, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BBNBC), Shahrir Samad semasa mengulas spekulasi bakal dilantik menduduki semula Kabinet, menolak jawatan itu atas alasan masa beliau sudah berlalu.

-  PenangKini

No comments:

Post a Comment