Sunday, 17 May 2015

ACJ320 RASMI PENERBANGAN PERTAMA BAWA YDP AGONG KE LANGKAWI


KUALA LUMPUR : Pesawat eksekutif Airbus Corporate Jetliner (ACJ 320) yang baru diperoleh kerajaan, hari ini melakukan penerbangan rasmi pertamanya membawa Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Pesawat ACJ 320 itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar sekitar jam 10 pagi terus Ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, perolehan pesawat ACJ 320 itu bertujuan menggantikan Boeing Business Jet (BBJ) yang berusia 16 tahun dan kini dalam proses pelupusan.
Kenyataan sama juga menyatakan keputusan menggantikan BBJ dibuat pada tahun 2013 berikutan kos penyelenggaraannya semakin meningkat kerana faktor usia dan risiko keselamatan.
Pesawat ACJ 320 yang berlepas dari Hamburg, Jerman tiba di Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu, selepas singgah di Almaty, Kazakhstan selama sejam bagi mengisi minyak.
Pesawat berkenaan membawa sembilan anak kapal dan dua pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri yang ditugaskan bagi memastikan pesawat yang diterima berada dalam keadaan baik dan menepati spesifikasi perjanjian pembelian.
Laluan Hamburg-Almaty-Subang dicadangkan sebagai laluan berdasarkan keadaan cuaca pada ketika itu.
Penerbangan itu juga menggunakan ruang udara China berdasarkan keadaan angin dan ketinggian awan, berbanding ruang udara Afghanistan.
Selain ACJ 320, tiga lagi pesawat eksekutif kerajaan adalah ACJ 319 yang diperoleh pada tahun 2007, manakala dua lagi pesawat bersaiz lebih kecil iaitu Falcon pada 1989 dan Global Express pada 2001.
Menerusi kenyataan Jabatan Perdana Menteri lagi, pesawat khas ini diperuntukkan bagi kegunaan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, tetamu-tetamu kerajaan persekutuan dari negara asing, pegawai kanan kerajaan serta orang kenamaan.
Bagaimanapun, ianya tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.
 - Astro Awani

No comments:

Post a Comment