Tuesday, 21 April 2015

PADERI SETUJU SALIB DITURUNKAN


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid hari ini berkata perhimpunan menuntut salib sebuah gereja di Petaling Jaya diturunkan semalam tidak melibatkan unsur hasutan.


Katanya juga, kejadian itu tidak menyentuh isu agama sebaliknya ia hanya merupakan isu masyarakat tempatan.

Dalam isu di Petaling Jaya itu, kami tidak melihat apa-apa isu yang berbentuk menghasut. Ini bukan isu menyentuh agama atau agama Kristian. Ini cuma bantahan masyarakat di sana tentang kedudukan gereja itu.

“Salib itu diturunkan adalah di atas permintaan masyarakat dan disetujui oleh paderi itu sendiri. Tidak ada kekerasan digunakan semasa menurunkan salib itu,” kata Khalid selepas melancarkan program PRIMA kepada warga PDRM di Bukit Aman hari ini.

Sebelum ini, penduduk di kawasan Taman Medan mengadakan demonstrasi di luar gereja itu pada Ahad mendesak supaya simbol salib pada bangunan itu diturunkan.

Ketika kejadian itu, gereja berkenaan sedang mengadakan sesi ceramah agama mingguannya. -  BNBBC

Sebelum itu, Datuk Abdullah Abu Bakar yang didakwa terlibat dalam protes membantah salib di sebuah gereja di Taman Medan hari ini menafikan telah mengetuai protes tersebut mahupun terlibat dengannya.

Ketika dihubungi Astro AWANI, beliau berkata dakwaan tersebut dan juga dakwaan yang mengatakan beliau adalah ketua kampung, adalah tidak benar sama sekali.

“Tidak benar… saya bukan ketua pendemo. Tak ada sesiapa yang jadi ketua pendemo pun. Saya pun tidak tahu dari mana mereka dapat idea itu… dan sekarang dah jadi viral,” tegas beliau.

Menurut Abdullah, beliau hanyalah bertindak sebagai orang tengah kepada penduduk Taman Medan berkenaan bagi meredakan kemarahan kumpulan yang membantah gereja tersebut.

Selain itu, beliau yang juga Ketua Cawangan UMNO Cawangan Taman Lindungan Jaya, menafikan bahawa protes tersebut bermotifkan politik seperti yang didakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Taman Medan, Haniza Talha.

Beliau juga menganggap bahawa isu ini telah pun selesai selepas mengadakan perbincangan baik dengan pihak gereja dan meminta mereka menurunkan salib pada bangunan gereja tersebut.

“Kita cadangkan salib diturunkan untuk menjaga sensitiviti penduduk, dan seorang wakil gereja, Madam Victoria bersetuju untuk menurunkan salib selepas dua jam protes itu bersurai dan saya amat berterima kasih kepada beliau,” katanya.

Abdullah bersama wakil penduduk Taman Medan sebelum itu telah berjumpa dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan juga pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Beliau memberitahu telah dimaklumkan oleh Yang Dipertua MBPJ, Datuk Mohd Roslan Sakiman bahawa gereja tersebut tidak mendapat kebenaran untuk beroperasi.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan perkara itu untuk ditangani pihak berkuasa.

Sementara itu, Abdullah turut memaklumkan bahawa adiknya, iaitu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah menghubunginya kira-kira jam 12 tengah hari tadi untuk bertanya tentang situasi isu berkenaan.

“Jadi, saya beritahulah pada adik saya… tak ada apa, semua dah selesai. Dan saya pun dah terangkan situasi sebenar,” katanya.

Abdullah juga menyelar tindakan beberapa pihak termasuk pembangkang yang dikatakan memperbesarkan isu ini.

“Isu ni kecil sahaja… pembangkang mainkan isu ini. Sebelum ni kita ada kawasan penduduk yang dikelilingi kuil, tak ada masalah pun.

“Tapi salib ni mereka fobia sebab tiba-tiba ada gereja. Tetapi persepsi mereka (terhadap gereja) kita hendak kawal… tak payah hendak panjangkan isu,” katanya lagi.

Sekumpulan 50 penduduk Taman Medan di Petaling Jaya pada Ahad dilapor melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sebuah gereja yang baru sahaja dibuka di situ.

Mereka turut mempersoalkan lambang salib yang diletakkan di luar gereja berkenaan selain menuntut ia diturunkan kerana lambang suci penganut Kristian itu dikatakan boleh mempengaruhi minda penduduk muda beragama Islam di sana.

Dalam pada itu, Khalid Abu Bakar dalam kenyataan terbarunya telah menyifatkan protes yang diadakan di gereja Taman Medan itu tidak mengandungi unsur-unsur hasutan.  -  Sumber Awani

No comments:

Post a Comment