Saturday, 11 April 2015

ISTIADAT PERTABALAN BUKAN PESTA UNTUK BERMEWAH DAN BERMEGAH - SULTAN NAZRIN


KUALA KANGSAR – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah istiadat pertabalan baginda sebagai Sultan Perak ke-35 bukan untuk bersuka-suka dan berpesta-pesta tetapi untuk memelihara adab, adat dan budaya bangsa.

Sultan Nazrin bertitah baginda amat sensitif akan aspek perbelanjaan dan pada setiap kali disembahkan taklimat, baginda mengingatkan anggota jawatankuasa agar memastikan elemen bermewah-mewah dan bermegah-megah dihindarkan daripada berlaku.
“Istiadat ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memperingatkan kembali warga akan sejarah negara bangsanya yang memiliki tamadun dan telah membina tamadun bangsa, berlandaskan adab bertiangkan adat.
“Sebagai Sultan yang telah dipilih oleh Dewan ini, beta wajib memenuhi tanggungjawab untuk memelihara adab dan adat yang telah diwariskan turun temurun sejak daripada Sultan Perak yang pertama,” titah baginda pada Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-163 di Istana Iskandariah di sini hari ini.
Baginda bertitah setiap negara ada adabnya yang melibatkan aspek moral, perilaku, perbuatan baik, kesantunan, kesopanan dan kemanusiaan.
“Kemajuan sesebuah negara bergantung pada warga yang mengamalkan disiplin yang tinggi, kesusilaan yang terpuji, beradab sopan terhadap negara dan menghormati lambang kedaulatan negara,” titah baginda.
Sehubungan itu, Sultan Nazrin bertitah pertabalan baginda adalah istiadat yang dianjurkan dengan tujuan untuk menziarahi semula adab dan adat negeri beraja rakyat bersultan, agar semangat kenegaraan dan semangat ketatanegaraan dapat difahami dan dihayati oleh rakyat jelata.
“Ia bukan istiadat semata-mata untuk batang tubuh individu seorang Raja, tetapi ia adalah istiadat menabalkan Raja yang bertakhta, lambang kedaulatan negara, payung penyatuan warga, sementara Raja Pemerintah pula turut diamanahkan dengan tanggungjawab sebagai pelindung dan pemeliharaan kepada adab, adat dan budaya bangsa.
“Raja yang ditabal pemegang watak utama untuk menghubungkan tradisi dengan modenisasi, menghidupkan kembali sejarah dan keagungan tamadun bangsanya yang telah dibina melalui amalan budaya yang penuh adab lagi beradat, mengandungi komponen-komponen kekayaan sejarah, keagungan tamadun, kehalusan budi dan keindahan bahasa lalu dijadikan asas untuk membangunkan sebuah negara bangsa yang berdisiplin, maju, moden lagi progresif.
“Ia menjadi amat relevan, bertambah relevan malah semakin relevan ketika masyarakat kini sedang berhadapan dengan pelbagai perbuatan subversif budaya dan sabotaj budaya,” titah baginda.
Titah Sultan Perak, kebelakangan ini perbuatan mahu mengetepikan adab malah memijak adat semakin kelihatan yang dipelopori oleh kalangan yang buta huruf terhadap sejarah negaranya, cetek tentang tamadun bangsanya, berminda budaya pelarian, minda yang terapung-apung dan minda yang tidak ada akar budaya lalu melanggar adab dan menyisihkan adat.
“Ia mengingatkan beta kepada pantun Melayu lama, Berburu Ke Padang Datar, Dapat Rusa Berbelang Kaki, Berguru Kepalang Ajar, Bagai Bunga Kembang Tak Jadi,” titah baginda.
Baginda bertitah istiadat pertabalan ini adalah peristiwa yang wajib diusahakan secara bersama-sama untuk membina jati diri rakyat daripada diresapi oleh racun yang mahu memusnahkan tamadun bangsa.
Sultan Nazrin bertitah baginda mentakrifkan acara yang akan alami baginda sepanjang istiadat pertabalan itu nanti dapat menyediakan ruang untuk baginda mengenali lebih dekat rakyat di Perak yang terdiri daripada pelbagai strata sosial dan ekonomi, pelbagai agama dan kaum serta usia.
“Istiadat pertabalan ini hendaklah dijadikan platform untuk rakyat disatukan dalam semangat kenegerian dan kenegaraan, menerima dan menghormati perbezaan, sama-sama berazam untuk teguh bersatu dalam kepelbagaian, membina negara bangsa yang bertamadun lagi dihormati,” titah baginda.
Baginda bertitah Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 akan bermula dengan istiadat meletak kerja pada 3 Mei 2015 dan berakhir dengan istiadat menutup kerja pada 17 Mei 2015.
“Beta telah disembah taklimat daripada semasa ke semasa oleh Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja serta anggota-anggota Jawatankuasa Pertabalan,” titah baginda. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment