Saturday, 4 April 2015

APA YANG ANDA PERLU TAHU MENGENAI GERHANA BULAN PENUH 4 APRIL 2015

Soalan-Soalan Tentang Gerhana Bulan Penuh 4 April 2015
Soalan-Soalan Tentang Gerhana Bulan Penuh 4 April 2015
Pada hari Sabtu ini, 4 April 2015, akan berlaku sekali lagi fenomena Gerhana Bulan Penuh, yang dapat dilihat oleh kita di Malaysia dan sekitar Asia Tenggara. Mungkin ramai yang mempunyai pertanyaan yang masih terngiang-ngiang dalam hati, yang mahu tahu jawapan secepat/seringkas yang mungkin.

Artikel ini bertujuan memenuhi situasi tersebut. Mudah-mudahan ia dapat membantu.
(1) Bilakah gerhana bulan 4 April ini akan bermula?
Secara tepatnya, gerhana ini akan bermula pada jam 5.01pm. Bulan ketika itu baru memasuki kawasan bayang-bayang yang dipanggil penumbra. Pada jam 6.15pm, ia akan memasuki kawasan bayang-bayang umbra, Pada jam 7.57pm, Bulan akan sepenuhnya berada dalam bayang-bayang umbra, menandakan bermulannya fasa gerhana penuh.
Pada jam 8.00pm, ia berada di puncak gerhana. Selang 2 minit kemudian, iaitu jam 8.02pm, ia mula bergerak keluar dari bayang-bayang umbra. Pada jam 9.44pm, bulan sepenuhnya keluar dari bayang-bayang umbra, tetapi masih berada dalam kawasan penumbra, sehinggalah jam 10.58pm, yang mana secara rasminya, bulan telah pun keluar sepenuhnya dari kawasan bayang-bayang bumi penumbra.
(2) Apakah yang dimaksudkan dengan penumbra dan umbra?
Bayang-bayang bumi ada 2 bahagian, umbra dan penumbra. Ia terbentuk kerana sumber cahaya yang menghasilkan bayang-bayang ini, iaitu matahari, merupakan sebuah objek yang besar dan sumber cahayanya wujud dari sebuah objek berbentuk bulatan (bukannya satu titik).
Kesannya, sebahagian bayang-bayang bumi, masih ada kena tempias cahaya matahari. Maka, bayang-bayang ini tidak pekat hitam. Inilah kawasan bayang-bayang penumbra.
Manakala, sebahagian lagi kawasan bayang-bayang bumi langsung tidak menerima cahaya direct matahari, maka ia lebih gelap. Kawasan ini dipanggil bayang-bayang umbra.
TAMBAHAN: 30 Mac 2014:12:41pm. Disebabkan bayang-bayang penumbra ini tidak gelap, maka ia amat susah untuk dikesan atau dilihat dengan mata. Cuma apabila Bulan mula menghampiri kawasan sempadan bayang-bayang umbra, barulah kelihatan warna gelap, dan bulan kelihatan sompek sedikit demi sedikit.
(3) Adakah berbahaya untuk melihat gerhana bulan penuh ini dengan mata?
Tidak bahaya langsung.
Kita boleh melihatnya terus dengan mata kerana yang kita lihat itu ialah bulan (bukannya matahari)
(4) Mengapakah bulan kelihatan merah pekat dan tidak hilang sepenuhnya ketika gerhana?
Warna kemerahan pada bulan itu disebabkan cahaya matahari yang bergerak berhampiran dengan bumi, telah dibiaskan oleh atmosferanya, Cahaya spektrum berwarna merah lebih mudah/banyak terbias berbanding warna lain.
Itulah sebabnya kita boleh lihat kesan kemerahan ketika fasa gerhana penuh.
(5) Selain dari warna merah, saya pernah terdengar ada warna turquoise?
Menarik sekali, warna merah bukan sahaja satu-satunya warna yang boleh dilihat. Ketika bulan baru sahaja nak masuk sepenuhnya ke dalam kawasan bayang-bayang umbra, kita berpeluang melihat sedikit warna turquoise di bahagian bulan yang lebih terang).
Warna turquoise ini wujud kerana cahaya matahari yang memasuki kawasan lapisan ozon bumi, hampii kesemua spektrum warna matahari akan diserap KECUALI biru.
Warna biru ini terlepas dan mengenai permukaan bulan, lalu menghasilkan warna turquoise.
Saya pernah berjaya merakamnya pada gerhana bulan tahun 2011 lepas, dan dipaparkan di laman Spaceweather.com . Cukup menarik!
(6) Fasa gerhana penuh kali ini macam pendek je, kenapa ye?
Memang benar, untuk gerhana kali ini, julat waktu fasa gerhana penuh (iaitu ketika bulan sepenuhnya berada dalam bayang-bayang umbra) agak pendek, iaitu kurang 5 minit.
Malah, untuk gerhana 4 April 2015 ini, ia merupakan yang PALING PENDEK untuk kurun ke-21!
Ini adalah kerana laluan bulan merentasi bayang-bayang bumi kali ini betul-betul di penjuru luar sempadan umbra. Maka, durasi ia berada dalam kawasan umbra ini amat singkat.
Lihat simulasi di sini > Simulasi Gerhana Bulan
(7) Di lokasi manakah sesuai untuk melihat gerhana bulan kali ini?
Disebabkan gerhana SUDAH PUN BERMULA ketika ia terbit pada Maghrib 4 April 2015 nanti, maka bulan akan berada rendah di ufuk sebelah timur. Maka, lokasi sesuai yang disarankan ialah:
  1. Kawasan ufuk timur yang kosong, tiada gangguan bangunan, pokok mahupun bukit yang tinggi.
  2. Di atas bangunan tinggi, yang dapat melihat ufuk TIMUR yang kosong (tiada gangguan/halangan)
  3. Kawasan pantai timur semenanjung, yang mana langit timurnya mengadap laut.
  4. Malaysia timur seperti di Sabah, di mana Bulan akan terbit satu jam lebih awal dari Semenanjung, maka di sana hampir keseluruhan fasa gerhana (dari awal hingga akhir) dapat dilihat. Bagi di Semenanjung, hanya dapat lihat separuh sahaja, iaitu bermula dari fasa hampir-hampir nak penuh.
(8) Bolehkah kita lihat gerhana bulan dari kawasan bandar yang banyak gangguan cahaya?
InsyaAllah boleh, kerana bulan merupakan objek yang besar dan terang. Maka, ia mudah dilihat di mana-mana pun, dengan syarat TIADA HALANGAN pandangan di ufuk timur.
(9) Saya lihat jadual di SINI, merujuk kepada bandar Kuala Lumpur, Kuching dan Sandakan sahaja? Bandar-bandar lain tak nampak ke?
Kalau nak tulis setiap satu bandar di Malaysia, jenuh ler!
Jadual ini sebagai panduan. Jika kita duduk berhampiran KL, seperti Semenanjung Malaysia, gunalah waktu KL sebagai rujukan. Jika kita berada di sekitar Sarawak dan lebih dekat ke Kuching, gunalah jadual Kuching. Jika kita berada lebih hampir ke Sandakan, gunalah jadual Sandakan.
Kalau di tengah-tengah, buatlah congakan kasar.
(10) Ada tak perisian yang boleh digunakan untuk membuat simulasi gerhana ini?
Untuk PC, gunakan Stellarium (percuma)
Untuk alat mobil, saya recommend apps seperti Sky Safari.
(11) Ada kedengaran orang memanggil fenomena ini Blood Moon atau Bulan Berdarah. Apa maksudnya?
Istilah Blood Moon ini dikatakan dimulakan oleh 2 orang paderi Mark Blitz and John Hagee, yang merujuk kepada fenomena 4 kali gerhana bulan penuh berturut-turut (bermula tahun 2014 hingga 2015 ini). Fenomena ini juga dikenali sebagai tetrad.
John Hagee telah mempopularkan istilah Blood Moon ini dalam bukunya Four Blood Moons: Something is About to Change pada tahun 2013.
(12) Adakah fenomena tetrad ini berlaku hanya pada tahun 2014-2015 sahaja?
Tidak. Tetrad yang membawa maksud 4 kali kejadian gerhana bulan penuh berturut-turut (tanpa ada fenomena gerhana bulan separa lain di antaranya) telah banyak kali berlaku sebelum ini.
Sila rujuk The Science Behind the “Blood Moon Tetrad”, yang turut menyediakan jadual tarikh tetrad yang berlaku sebelum dan selepas ini.
Malah, kita pun boleh kajian sendiri dengan mengkaji fenomena gerhana bulan yang pernah berlaku sebelum ini, menerusi data kiraan ini .
(13) Apakah alat paling sesuai untuk mencerap Gerhana Bulan Penuh ini?
Disebabkan bulan ini kelihata besar di langit, kesemua jenis alat mencerap boleh digunakan.
Namun, saya sarankan, guna Binokular atau teleskop berkuasa RENDAH, untuk dapat melihat keindahan fasa gerhana ini semaksimum yang mungkin.
(14) Bolehkah kita merakam gerhana bulan?
Boleh. Jika anda mempunyai kamera
DSLR
, cuba gunakan lens sekitar 300mm ke atas, saya rasakan barulah bulan itu kelihatan cukup besar untuk menonjolkan kesan gerhana di permukaanya.
(15) Apakah ibadat khusus yang boleh dilakukan ketika gerhana bulan?
Umat Islam disarakan melakukan solat sunat gerhana (sunat muakkad). Difahamkan masjid-masjid utama akan turut mengadakan solat sunat gerhana pada malam 4 April 2015 nanti.

Sumber : Majalah Sains

No comments:

Post a Comment