Tuesday, 7 April 2015

17 SUSPEK PENGGANAS MALAYSIA RANCANG CULIK VVIP, ROMPAK BANK, KEM TENTERA DAN BALAI POLIS UNTUK TUBUHKAN REJIM IS


KUALA LUMPUR : Culik orang kenamaan, serang lokasi strategik dan seterusnya tubuhkan rejim IS di Malaysia – itu antara percaturan dibuat oleh kumpulan 17 disyaki pengganas yang dikaitkan dengan IS, sebelum ditahan polis Ahad lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sasaran serangan ialah di lokasi-lokasi strategik di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, 17 suspek itu ditahan dalam operasi Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Kuala Lumpur dan Kedah ketika mereka sedang melakukan pertemuan sulit bagi merancang untuk melancarkan serangan di sekitar Lembah Klang.

“Mereka yang ditahan berusia lingkungan 14 hingga 49 tahun, antaranya merupakan bekas anggota kanan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) yang pernah ditangkap, guru agama, pengawal keselamatan dan anggota tentera,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Khalid berkata anggota kanan kumpulan pengganas itu yang berusia 49 tahun merupakan bekas anggota KMM dan pernah ditangkap pada Jun 2001 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Dia juga pernah menjalani latihan di Afganistan pada Jun 1989 dan di Sulawesi pada November 2000, selain pernah terlibat dalam rancangan untuk merompak senjata api di Balai Polis Guar Chempedak pada Februari 2001, kata Khalid.

“Suspek berlepas ke Syria pada Ogos tahun lepas untuk menjalani latihan ketenteraan dan kembali ke Malaysia pada Disember tahun sama.

Seorang lagi adalah guru agama berusia 38 tahun berasal dari Kedah yang berlepas ke Syria pada September tahun lepas untuk menyertai kumpulan pengganas IS dan kembali ke Malaysia pada Disember tahun sama,” katanya.

Turut ditahan dua anggota tentera, seorang pengawal keselamatan yang mempunyai akses kepada senjata api dan seorang anggota kumpulan militan dari Indonesia yang merupakan bekas anggota kumpulan Jemaah Islamiah dan mahir mengendalikan senjata api.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Khalid berkata anggota-anggota sel ini juga merancang untuk merompak bank bagi mendapatkan dana dan merompak kem tentera dan balai polis bagi mendapatkan senjata api.

Khalid berkata mereka juga telah merancang mendapatkan bekalan dari sebuah kumpulan pengganas yang bergerak di negara jiran.

Beliau berkata dengan tangkapan terbaharu itu, jumlah rakyat Malaysia yang ditangkap oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti militan di Syria adalah 92 suspek sejak operasi pertama dilancarkan pada Februari 2013.

Kesemua mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan yang membabitkan kesalahan berkaitan keganasan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747).-mstar.

No comments:

Post a Comment